PEARLY (kanan) dan Thinaah akan berdepan juara dunia dua kali dari Jepun, Matsumoto-Nagahara di pusingan pertama BAC. FOTO ARKIB NSTP
PEARLY (kanan) dan Thinaah akan berdepan juara dunia dua kali dari Jepun, Matsumoto-Nagahara di pusingan pertama BAC. FOTO ARKIB NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah hanya mahu memberi tumpuan kepada aksi pertama terlebih dahulu pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China bermula 9 hingga 14 April ini sebelum memikirkan langkah lebih jauh.

Pearly berkata, pertemuan seawal pusingan pertama dengan gandingan Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara cukup penting dan dia serta Thinaah akan mendapatkan nasihat jurulatih mengenai strategi terbaik bagi menewaskan bekas juara dunia dua kali itu.

"Buat masa ini, kami mahu fokus kepada perlawanan pertama terlebih dahulu. Kami akan bincang dengan jurulatih dan pakar analisis untuk lihat strategi apa yang kami boleh gunakan apabila turun menentang mereka (Matsumoto-Nagahara).

"Pada masa sama, kami akan fokus terhadap persiapan diri sendiri. Kami perlu memperkemaskan lagi kombinasi sebagai gandingan dan komunikasi kami dalam gelanggang," katanya.

Rekod pertemuan menyaksikan Pearly-Thinaah menang tiga daripada empat pertemuan, namun mereka tetap berwaspada dengan cabaran bakal diberikan gandingan Jepun itu.

Kali terakhir Pearly-Thinaah menundukkan lawan dari Negara Matahari Terbit itu adalah di pusingan ketiga Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, tahun lalu.

Andai berjaya mengatasi Matsumoto-Nagahara, Pearly-Thinaah yang menduduki ranking ke-13 dunia akan bertemu pemenang perlawanan antara pasangan China, Li Wen Mei-Liu Xuan Xuan di pusingan kedua.

Selain Pearly-Thinaah, cabaran Malaysia dalam acara beregu wanita di Ningbo turut akan digalas pasangan profesional, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2024 @ 5:12 PM