AKSI Thinaah dan Pearly ketika menentang beregu Korea. FOTO BAM
AKSI Thinaah dan Pearly ketika menentang beregu Korea. FOTO BAM
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah bermula garang apabila berjaya menyingkirkan beregu nombor dua dunia dari Korea Selatan, Lee So Hee-Shin Seung Chan pada pusingan pertama Terbuka Jepun, hari ini.

Gandingan negara yang memenangi pingat emas di Sukan Komanwel Birmingham itu terpaksa berhempas pulas sebelum dapat menewaskan lawan mereka 16-21, 21-14, 21-18 selama satu jam seminit itu.

Pada perlawanan berlangsung di Maruzen Intec Arena Osaka itu, Pearly-Thinaah mempamerkan kebangkitan luar biasa untuk melakar kemenangan selepas kecundang di set pertama.

Meskipun ia pertemuan pertama bertemu gandingan Korea itu, Pearly-Thinaah membuktikan bukan sesuatu yang mustahil untuk membaca corak permainan lawan sekali gus melakar kemenangan.

"Masih ada perkara perlu diperbaiki untuk kami berdua, tetapi buat masa ini kami hanya mahu fokus meraih mata demi mata dalam setiap perlawanan," kata Thinaah.

Kejayaan itu pastinya memberi suntikan semangat kepada beregu negara itu yang tersingkir di pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia dekat Tokyo minggu lalu.

Turut melepasi pusingan pertama adalah beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei yang menewaskan rakan senegara, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei 23-21 22-24 21-17.

Beregu profesional wanita negara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien juga tidak berdepan masalah menewaskan wakil Jerman, Linda Efler-Isabel Lohau 21-17 23-21 untuk mara ke pusingan kedua.

Bagaimanapun, nasib berbeza menimpa beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang kandas seawal pusingan pertama selepas tewas kepada gandingan Indonesia, Shohibul Fikri-Bagas Maulana 17-21, 21-18, 19-21.

Turut menerima nasib sama beregu wanita negara, Anna Cheong-Teoh Mei Xing yang tewas 9-21, 14-21 kepada gandingan China, Liu Xuan Xuan-Xia Yu Ting di pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 2:43 PM