Rexy Mainaky (tengah) bersama Jurulatih perseorangan lelaki negara Hendrawan (kiri) dan Tze Yong pada sidang media skuad badminton negara menjelang saingan Terbuka Malaysia di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara. -FOTO Aswadi Alias
Rexy Mainaky (tengah) bersama Jurulatih perseorangan lelaki negara Hendrawan (kiri) dan Tze Yong pada sidang media skuad badminton negara menjelang saingan Terbuka Malaysia di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara. -FOTO Aswadi Alias
Ferzalfie Fauzi dan Suhaila Khairie


Kuala Lumpur: Sentuhan bekas jurulatih fizikal Datuk Lee Chong Wei, Mohd Rosdi Abd Ghani diharap mampu melahirkan Ng Tze Yong yang baharu dan sesuatu luar biasa mampu dipamerkan apabila perseorangan lelaki negara itu turun di Terbuka Malaysia minggu depan.

Menurut jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan, kehadiran Rosdi mampu memberi sentuhan yang diinginkan terutama dalam memperkuatkan tahap fizikal pemain ranking ke-15 dunia itu.

"Selama ini kita memang kurang fokus kepada kecergasan jadi tempoh sebulan (tanpa kejohanan) kita lebih tumpu kepada perkara itu dan tengok nanti bagaimana di Terbuka Malaysia," kata pengendali kelahiran Indonesia itu dalam sidang media di Akademi Bamdminton Malaysia (ABM).

Ujar Hendrawan, beliau mengharapkan ada peningkatan dari segi kecergasan dan kondisi badan Tze Yong di kejohanan yang bakal berlangsung di Axiata Arena itu.

"Kita percaya akan ada (perubahan). Chong Wei dengan Lee Zii Jia tidak jauh beza, tetapi Tze Yong berlainan sedikit. Kedua-dua pemain itu ada kapasiti kekuatan. Tze Yong bukan tipikal pemain seperti itu, jadi dia perlu membina kekuatan.

"Persediaan untuknya (dari segi kecergasan) agak panjang kita tengok macam mana nanti selepas pembabitan Rosdi yang pernah memperkuatkan fizikal Chong Wei. Beliau (Rosdi) sendiri sudah mengkaji keadaan Tze Yong," kata Hendrawan.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan, Rexy Mainaky mengakui bahawa, Rosdi sekarang ini sudah membuat pemerhatian terhadap Tze Yong terutama dalam memperkuatkan kaki dan tubuh badannya.

"Tze Yong sendiri mengakui kakinya kepenatan selepas berakhir final Terbuka Arctic tahun lalu. Jadi agak baik dia mengakuinya sendiri dan apabila pulang ke tanah air kita boleh menumpukan kepada kelemahan itu.

"Memang satu usaha yang bagus dalam mempertingkatkan bahagian berkenaan di bawah pemerhatian Rosdi. Sudah dua bulan beliau (Rosdi) berkhidmat dengan memantau Tze Yong bersama Leong Jun Hao," katanya.

Tze Yong dijadual membuka tirai saingan Terbuka Malaysia menentang pemain berusia 24 tahun Jepun, Koki Watanabe di pusingan pertama.

Pada aksi tahun lalu, selepas menewaskan pemain Ireland, Nhat Nguyen di pusingan pertama, perjalanan Tze Yong di Terbuka Malaysia, tersekat di pusingan kedua apabila tewas kepada Kodai Naraoka (Jepun) selepas kalah 21-15, 19-21, 15-21 dalam perlawanan yang penuh dramatik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2024 @ 2:49 PM