ROESDI mahu pastikan Tze Yong berada dalam tahap fizikal terbaik untuk layak ke Olimpik.
ROESDI mahu pastikan Tze Yong berada dalam tahap fizikal terbaik untuk layak ke Olimpik.
Ferzalfie Fauzi dan Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Cabaran besar perlu dilalui bekas jurulatih fizikal Datuk Lee Chong Wei, Mohd Roesdi Ab Ghani dalam usaha mengubah perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong menjadi lebih kuat dan mempunyai daya tahan tinggi dalam permainan.

Menurutnya, beliau sekarang ini menggalas tugas penting dalam usaha memastikan Tze Yong berada dalam tahap fizikal terbaik dan melayakkan diri ke Olimpik Paris.

"Tak banyak ruang untuk saya kerana Tze Yong sering ke luar negara, menyertai kejohanan namun selepas Terbuka Hylo, saya dapat melatihnya dalam tempoh agak panjang kira-kira lima minggu," kataya yang pernah diberi tanggungjawab membentuk fizikal Chong Wei daripada 2008 hingga 2018.

Ujar Roesdi, beliau diberi tanggungjawab melatih Tze Yong dan Leong Jun Hao sejak Ogos lalu, namun tidak mempunyai ruang masa yang besar kerana anak buahnya itu kerap bertanding di luar negara.

"Latihan kepada Tze Yong berkisar kepada cara kita nak tingkatkan impulsif, ketahanan dalam diri dari segi anaerobik, aerobik serta ekspolsif dalam gelanggang.

"Agak sukar untuk Tze Yong menambah berat badan dalam usaha membentuk otot dengan lebih pantas, jadi pihaknya dan barisan kejurulatihan perlu mendapatkan kerjasama pakar pemakanan," katanya.

Tambah Roesdi, dari segi kekuatan Tze Yong sudah cukup bagus dan beliau berterima kasih kepada jurulatih kecergasan sebelum ini.

"Tugas saya sekarang menukarnya kepada eksplosif dengan baik, kita boleh mendapatkannya tapi dari masa ke masa, dalam waktu singkat nak dapatkan semua sekali serentak agak mustahil," katanya.

Selepas kira-kira lima bulan melatih Tze Yong, Roesdi mengakui banyak peningkatan dipamerkan pemain kelahiran Johor itu terutamanya dari segi eksplosif namun agak bergelut di awal latihan untuk mendapatkan perubahan anaerobik.

"Setakat ini saya lihat Tze Yong menerima kaedah latihan dengan baik kerana dia tahu apa yang diperlukannya. Setiap kali kami (barisan kejurulatihan) sediakan program untuk dia, kami akan terangkan tujuan dan fokus yang dimahukan jadi, Tze Yong datang dengan minda yang sudah bersedia," tambah Roesdi.

Ditanya mengenai perbezaan antara Tze Yong dan Chong Wei pada peringkat awal beliau melatih, Roesdi mengakui tidak banyak perbezaannya.

"Cuma yang berbeza adalah, saya mempunyai ruang masa yang besar untuk melatih Chong Wei, manakala sebaik melatih Tze Yong, masa terbatas dan singkat," katanya.

Tze Yong akan memulakan aksi 2024 apabila berdepan perseorangan lelaki Jepun, Koki Watanabe di pusingan pertama Terbuka Malaysia di Axiata Arena esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2024 @ 2:53 PM