TZE Yong masih lagi ada kelemahan terutama dari segi kecergasan. FOTO ASWADI ALIAS
TZE Yong masih lagi ada kelemahan terutama dari segi kecergasan. FOTO ASWADI ALIAS
Aida Adilah Mat

aida_adilah @hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kejohanan badminton Terbuka Malaysia tidak boleh dijadikan kayu pengukur untuk menilai tahap kemampuan pemain perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong. Terutama ketika pemain di ranking ke-48 dunia itu hanya mengetahui dapat menyertai kejohanan itu pada saat akhir.

Semalam, Tze Yong memberi tentangan sengit kepada pemain China, Lu Guang Zu sebelum tewas 16-21, 23-21, 18-21 pada pusingan pertama di Axiata Arena.

Namun jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan menegaskan bahawa beliau akan menggunakan sepenuhnya masa yang ada untuk mempersiapkan Tze Yong di tahap terbaik sebelum Komanwel bermula.

Hendrawan ketika ditemui berkata, biarpun tewas ada peningkatan ketara dapat dilihat dari permainan yang dipamerkan oleh Tze Yong berbanding ketika aksinya di Piala Thomas.

Cuma perlu diakui, Tze Yong masih lagi ada kelemahan terutama dari segi kecergasan.

"Saya gembira dengan peningkatan prestasi yang ditunjukkan oleh Tze Yong berbanding ketika di bermain di Piala Thomas tapi kita masih mempunyai masa untuk mempersiakan dia.

"Selepas lima minggu dia menjalani latihan, permainannya nampak lebih bagus tapi tahap kecergasannya masih perlu ditingkatkan dan perlu bekerja keras lagi," katanya.

Tze Yong menjadi pertaruhan negara di Komanwel menggantikan Lee Zii Jia yang menarik dari bagi memberi fokus kepada Kejohanan Dunia di Tokyo Jepun yang akan bermula dari 21 hingga 28 Ogos.

Justeru Hendrawan berkata, masih ada masa yang cukup untuk dia membuat persiapan dan menegaskan akan cuba yang terbaik untuk bersaing dan mendapatkan pingat tidak kira apa saja warna.

Sementara itu bagi Tze Yong mengulas mengenai pertemuannya dengan Guang Zu berkata, dia sudah membuat yang terbaik namun gagal memanfaatkan peluang di situasi penting.

"Saya sudah buat yang terbaik, tarik lawan hingga ke set penentuan sebab saya memang mahu menang perlawanan itu.

"Tapi bila kedudukan terikat 18-18 di set ketiga, saya patut tingkatkan kelajuan kerana ia adalah penentuan kepada perlawanan itu," katanya.

Tze Yong selepas ini akan turun beraksi di Malaysia Masters minggu depan selain Terbuka Singapura sebagai persiapan sebelum ke temasya Komanwel. Di Masters Malaysia, Tze Yong akan memulakan aksi di pusingan kelayakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2022 @ 3:37 PM