IZZUDDIN (kiri) dan Sze Fei juarai Masters Kaohsiung. FOTO NSTP
IZZUDDIN (kiri) dan Sze Fei juarai Masters Kaohsiung. FOTO NSTP

Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei meraih gelaran kedua dalam tempoh tiga bulan selepas kembali bersama apabila menjuarai badminton Masters Kaohsiung di Taiwan, hari ini.

Kejayaan itu hadir selepas pasangan ranking ke-29 dunia berkenaan menewaskan wakil tuan rumah yang juga pilihan pertama, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan 21-14, 21-10 pada aksi final.

Izzuddin-Sze Fei sebelum ini berjaya menjuarai Terbuka Amerika Syarikat (AS), Julai lalu yang juga kejohanan pertama mereka sejak kembali bersama selepas berpisah selama lima bulan kerana tidak mempunyai persefahaman.

Sebagai rekod, kejuaraan Masters Kaohsiung adalah gelaran Jelajah Dunia BWF ketiga dalam kerjaya mereka selepas turut muncul juara Terbuka Jerman tahun lalu.

Walaupun Masters Kaohsiung hanyalah berstatus Super 100, namun mata yang diraih Izzuddin-Sze Fei selaku juara dijangka dapat membantu untuk melonjakkan kedudukan ranking dunia mereka dalam misi memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2023 @ 10:54 PM