NUR Izzuddin (kiri) dan Sze Fei diharap menyerlah di BAC di Ningbo, China dari 9 hingga 14 April ini. FOTO ARKIB NSTP
NUR Izzuddin (kiri) dan Sze Fei diharap menyerlah di BAC di Ningbo, China dari 9 hingga 14 April ini. FOTO ARKIB NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Kembali bangkit, itulah pandangan diberikan jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen kepada gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun agar kembali menjuarai kejohanan bertaraf Super 500 ke atas.

Menurut Bin Shen, beliau mahu kedua-dua gandingan itu bangkit bermula dalam Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China dari 9 hingga 14 April ini.

"Walaupun gagal layak ke Sukan Olimpik Paris 2024, banyak lagi yang mereka belum capai seperti memenangi gelaran juara kejohanan Super 500 atau 750," katanya.

Kedua-dua pasangan itu bergelut dalam saingan individu musim ini, sekali gus gagal layak ke Paris 2024.

Izzuddin-Sze Fei yang menghuni ranking ke-19 dunia tewas di pusingan awal dalam semua kejohanan musim ini manakala pencapaian terbaik Wei Chong-Kai Wun adalah mara ke suku akhir Terbuka Switzerland, bulan lalu.

"Itu (juara Super 500) adalah sasaran yang seharusnya mereka capai daripada asyik kalah di pusingan awal dan suku akhir.

"Selepas ini mereka akan beraksi di BAC dan saya berharap ada keputusan positif daripada mereka dalam kejohanan itu nanti," kata Bin Shen.

Tambah Bin Shen, sekiranya Izzuddin-Sze Fei dan Wei Chong-Kai Wun tidak bangkit, kedudukan mereka akan 'dirampas' pasangan muda negara seperti Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King dan Aaron Tai-Kang Khai Xing yang ketika ini menunjukkan peningkatan prestasi positif.

Haikal-Hon Jian cemerlang apabila merangkul gelaran ketiga mereka dalam Jelajah Dunia BWF dengan menjuarai Masters Orleans di Perancis, sekali gus melonjak ke kedudukan ke-28 dunia manakala Wan Arif-Roy King muncul naib juara Masters Sepanyol untuk naik ke tangga ke-50 ranking dunia.

Aaron-Kai Xing turut cemerlang apabila merangkul gelaran pertama mereka di peringkat senior selepas menjuarai Cabaran Antarabangsa Thailand untuk melonjak ke tangga ke-118 dunia berbanding ke-167 sebelum ini.

"Kita perlukan banyak pasangan untuk bersaing dengan Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki nombor satu negara).

"Kalau semua menang, kita akan ada beregu berkualiti, sekali gus kualiti dalam latihan akan meningkat," kata Bin Shen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2024 @ 5:16 PM