SZE-Fei (kiri) dan Izzuddin mempamer aksi cemerlang di Terbuka Denmark. FOTO Badmintonphoto
SZE-Fei (kiri) dan Izzuddin mempamer aksi cemerlang di Terbuka Denmark. FOTO Badmintonphoto
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kejayaan Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei beraksi di separuh akhir Terbuka Denmark di Odense awal pagi tadi memberi petanda positif bahawa peminat kini juga boleh mengharapkan perkhabaran gembira daripada mereka.

Izzuddin-Sze Fei membuktikan mereka antara pencabar yang mampu meranapkan impian sesiapa saja dengan semangat juang dipamerkan.

Pada aksi di separuh akhir itu, pasangan negara berdepan provokasi daripada penyokong tuan rumah namun mereka tidak mengalah apabila berjaya membawa perlawanan ke set penentuan sebelum tewas kepada pilihan kelapan kejohanan, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 11-21, 21-19, 18-21.

Bagi Izzuddin, perjuangan mereka belum berakhir dan semangat yang membara akan diteruskan pada aksi Terbuka Perancis bermula Selasa ini.

"Saya akui kami gagal untuk fokus ketika tewas di separuh akhir tapi kami cukup gembira kerana berjaya melangkah sejauh ini dalam aksi Super 1000 ini kejohanan tertinggi dalam kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

"Mungkin kami terlalu bertahan pada set pertama menyebabkan kami ketinggalan jauh tapi kami bangkit di set kedua untuk menang bagaimanapun rentak itu gagal diteruskan di set ketiga," kata Izzuddin.

Kecemerlangan beregu lelaki negara yang masing-masing berusia 24 tahun bermula dengan kejayaan menewaskan beregu di ranking ke-10 dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty di pusingan kedua sebelum menundukkan pasangan Indonesia yang menghuni ranking nombor tujuh dunia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto di suku akhir.

Ia dianggap satu pencapaian positif terhadap perkembangan beregu muda negara itu yang sebelum ini tidak dapat beraksi dengan cemerlang ketika saingan Piala Thomas.

Mereka akan meneruskan perjuangan di Terbuka Perancis yang mana Izzuddin-Sze Fei akan menentang rakan senegara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin di pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 2:21 PM