CHIA-SOH WOOI YIK mudah tundukkan Sze Fei-Nur Izzuddin  -FOTO Aswadi Alias
CHIA-SOH WOOI YIK mudah tundukkan Sze Fei-Nur Izzuddin -FOTO Aswadi Alias
Ferzalfie Fauzi dan Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Harapan yang diletakkan terhadap beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk melakukan sesuatu di Terbuka Malaysia kali ini terus bernyala apabila mereka berjaya melangkah ke suku akhir selepas mengalahkan rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani di Axiata Arena sebentar tadi.

Aaron-Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan ketiga, mudah mencatat kemenangan straight set 21-15, 21-16 dan ia adalah kemenangan kali kelima selepas mereka bertemu sebanyak enam kali.

Pasangan nombor empat dunia itu bakal bertemu penyandang juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae yang mara selepas menumpaskan wakil Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan 21-13, 21-14.

"Memang kita akan mempersiapkan diri bertemu mereka walaupun sudah bertemu banyak kali sebelum ini. Mereka baru saja memenangi Jelajah Dunia Akhir bulan lalu. Bagaimanapun itu adalah 2023, sekarang kita anggap 0-0 (untuk musim baharu).

"Kita akan melakukan persiapan sebaik mungkin dan berbincang dengan jurulatih," kata Aaron yang pernah muncul juara dunia pada 2022 bersama Wooi Yik.

Sementara itu, Wooi Yik berkata, dia tidak boleh menganggap pertemuan dengan Min Hyuk-Seung Jae aksi biasa kerana sudah bertemu sebelum ini dengan rekod 1-1.

"Sama seperti sebelum ini kita akan fokus dan menganggap ia adalah aksi sukar dan kedua-dua mempunyai peluang 50-50. Jadi kami mengharapkan sokongan terbaik daripada penyokong agar boleh lebih bersemangat," kata pemain berusia 25 tahun itu.

Tahun lalu di Terbuka Malaysia Aaron-Wooi Yik terkandas di pusingan kedua, manakala pencapaian terbaik mereka ialah mara ke separuh akhir pada 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2024 @ 8:20 PM