YEW  Sin dan Ee Yi mara pusingan ketiga Masters Thailand.
YEW Sin dan Ee Yi mara pusingan ketiga Masters Thailand.
Aida Adilah Mat


BEREGU lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi meneruskan rentak kemenangan menempah tiket ke pusingan ketiga Masters Thailand di Bangkok, hari ini.

Selepas mencipta kejutan menewaskan beregu pilihan semalam, Yew Sin-Ee Yi bagaikan mendapat semangat luar biasa apabila menewaskan lawan dari China , Ou Xuan Yi-Zhang Nau 19-21, 23-21, 21-19 untuk mara ke pusingan seterusnya.

Turut mara pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang menewaskan beregu Taiwan, Liao Min Chun-Su Ching Heng, 21-16, 21-15 selain Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang menang ke atas beregu campuran Indonesia, Dejan Ferdinansyah-Sarena Kani 21-15, 21-13.

Sementara itu, beregu campuran negara Goh Soon Huat-Shevon Lai tidak berdepan masalah menundukkan pasangan Jerman, Mark Lansfuss-Isabel Herttrich 22-20, 21-15.

Bagaimanapun, nasib berbeza dialami perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia apabila tewas kepada lawan dari Korea, Heo Kwang Hee, 19-21, 21-15, 16-21.

Diletakkan sebagai pilihan ketujuh kejohanan Zii Jia gagal meneruskan rentak kemenangan apabila gagal mengekang serangan lawan.

Manakala impian beregu lelaki Goh Sze Fei-Nur Izzuddin tidak kesampaian apabila tewas kepada wakil Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan 19-21, 21-19, 21-16.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 8:13 PM