REXY mahu Aaron-Wooi Yik bijak baca permainan lawan. FOTO NSTP
REXY mahu Aaron-Wooi Yik bijak baca permainan lawan. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Masih belum cukup usaha yang dilakukan oleh beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk bergelar juara.

Mereka perlu melakukan beberapa perubahan dalam corak permainannya mereka sekiranya ingin melangkah lebih jauh dalam setiap pertandingan yang disertai.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, Aaron-Wooi Yik perlu mencari jalan untuk tidak terperangkap dengan corak permainan lawan.

Katanya, Aaron-Wooi Yik perlu memberi fokus yang lebih untuk tidak mudah diganggu dengan taktikal lawan.

"Hati Aaron-Wooi Yik perlu lebih kuat dan sebagai pemain yang menduduki ranking kelima dunia, mereka tak bolehlah senang kena kacau kalau ada perubahan dalam corak permainan lawan.

"Hati mereka perlu bijak baca permainan lawan," kata Rexy mengulas mengenai prestasi pasangan itu dalam dua kejohanan terakhir mereka - Terbuka Korea dan Terbuka Jepun.

Kegagalan di dua kejohanan berkenaan menyaksikan mereka yang pernah bergelar juara dunia itu masih gagal dalam misi memburu kejuaraan pertama dalam saingan Jelajah Dunia.

Bagaimanapun, impian itu mungkin dapat direalisasikan apabila turun beraksi di Terbuka Australia akan memulakan cabaran menentang pasangan yang layak daripada pusingan kelayakan bermula esok.

Dalam perkembangan yang sama Rexy memaklumkan Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei memerlukan masa untuk kembali ke puncak prestasi selepas berpisah selama lima bulan.

Bagaimanapun, kedua-dua pemain itu menunjukkan reaksi positif berdasarkan aksi dalam tiga kejohanan awal apabila muncul juara Terbuka Amerika Syarikat dan mara ke suku akhir Terbuka Korea sebelum terkandas di pusingan kedua Terbuka Jepun.

"Saya tengok Izzuddin-Sze Fei bermain cukup baik dan menunjukkan peningkatan prestasi yang positif. Cuma, mereka perlu sedikit masa untuk menjadi lebih baik lagi sejak kembali digandingkan," kata Rexy.

Izzuddin-Sze Fei turut akan beraksi di Terbuka Australia dan mereka akan membuka tirai saingan menentang pasangan Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2023 @ 2:43 PM