PEI JING dalam hantaran Instagramnya memaklumkan dia kini semakin sihat namun memerlukan rehat. -FOTO Facebook
PEI JING dalam hantaran Instagramnya memaklumkan dia kini semakin sihat namun memerlukan rehat. -FOTO Facebook
Wan Izzati Amir


Kuala Lumpur: Pemain beregu campuran profesional negara, Lai Pei Jing berkongsi keadaan terkini kesihatannya mengalami muntah selepas perlawanan di Terbuka Thailand baru-baru ini.

Pemain itu menyampaikan penghargaan terima kasih kepada mereka yang sentiasa ada dan memberi sokongan pada dirinya dan memaklumkan dia kini semakin pulih.

Pei Jing-Tan Kian Meng sebelum ini pernah menjuarai Terbuka Thailand pada tahun 2016, gagal mara ke pusingan kedua Terbuka Thailand apabila tewas kepada beregu Taiwan 15-21, 21-16, 21-16.

Pei Jing berkata dia berasa tidak sihat sehari sebelum perlawanan lagi dan keadaan dirinya semakin teruk selepas perlawanan apabila mula muntah dan mengalami sakit kepala yang teruk dan pening menyebabkan dia tidak mampu untuk berdiri.

"Saya sakit sehari sebelum perlawanan. Saya cuba makan ubat dan minum banyak air tetapi nampaknya ia tidak banyak membantu apabila saya mula muntah sejurus selepas perlawanan .

"Perlahan-lahan saya rasa sakit kepala dan pening hingga tidak boleh berdiri. Selepas berbaring seluruh badan seolah menjadi lumpuh kerana tidak dapat merasa atau mengawal gerakan saya.

"Jadi doktor di kejohanan itu memutuskan untuk menghantar saya ke hospital untuk pemeriksaan," katanya dalam satu hantaran di Instagramnya.

Pei Jing menyatakan dengan jelas bahawa sakit yang dialami bukanlah punca kekalahan mereka kerana sepanjang perlawanan dia merasakan keadaan dirinya dalam keadaan baik dan terkawal. Dia juga menyatakan kekecewaan dengan keputusan itu dan berazam untuk terus berusaha mencapai kejayaan.

Atlet itu juga mengambil kesempatan mengucapkan selamat hari lahir kepada Kian Meng dan berjanji untuk sama-sama berusaha untuk memberikannya hadiah kemenangan.

Mengakhiri mesej itu, Pei Jing berkata dia akan melakukan pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan rehat yang secukupnya sebelum beraksi semula di kejohanan seterusnya yang akan berlangsung di Singapura dari 6 hingga 11 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2023 @ 2:15 PM