Aksi beregu campuran negara, Lai Pei Jing (kanan) dan pasangannya Tan Kian Meng pada Terbuka Indonesia, semalam. FOTO AFP
Aksi beregu campuran negara, Lai Pei Jing (kanan) dan pasangannya Tan Kian Meng pada Terbuka Indonesia, semalam. FOTO AFP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Walaupun gagal mara ke separuh akhir Terbuka Indonesia semalam, pemain beregu campuran profesional negara, Lai Pei Jing mahu segera melupakan kekecewaan berkenaan untuk memberi fokus kepada saingan Jelajah Dunia Akhir BWF yang akan berlangsung di Bali dari 1 hingga 5 Disember ini.

Pei Jing yang bergandingan bersama Tan Kian Meng terpaksa akur dengan pilihan utama dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai semalam apabila tumpas pada saingan suku akhir 10-21, 11-21 dalam aksi selama 33 minit.

"Berjaya melayakkan diri di saingan terakhir untuk tahun ini. Selepas ini kami harus mempersiapkan diri untuk bersedia bagi saingan Jelajah Dunia Akhir minggu depan," kata Pei Jing.

Pemain kelahiran Pahang itu mengakui segala usaha keras selama ini membolehkan mereka untuk menempatkan diri di kejohanan akhir musim itu buat kali kedua selepas penampilan terakhir pada 2017.

"Selepas terlepas peluang pada edisi lalu (Januari), saya berkata kepada diri sendiri agar tidak melakukan kesilapan yang sama dan saya gembira berjaya juga meraihnya," kata Pei Jing.

Pemain berusia 29 tahun itu berkata, atas usaha keras selama ini berjaya melayakkan mereka ke kejohanan berkenaan dianggap sebagai satu ganjaran kecil buatnya bersama Kian Meng.

Turut melayakkan diri buat kali pertama di kejohanan berkenaan ialah beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah selepas memberi persembahan terbaik sepanjang saingan jelajah musim ini.

Sementara itu, dalam saingan perseorangan lelaki, cabaran negara akan digalas oleh Lee Zii Jia, manakala pasangan profesional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi akan berentap bersama beregu lelaki handalan dunia yang lain.

Yew Sin-Ee Yi tumpas 21-14, 14-21, 16-21 kepada wakil tuan rumah Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo di suku akhir Terbuka Indonesia, semalam.

Jelajah Dunia Akhir BWF menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$1.5 juta (RM6.23 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 5:51 PM