V SHEM (kanan) dan  Ee Yi
V SHEM (kanan) dan Ee Yi
WEE Kiong (kanan)  bersama Yew Sin ketika sesi latihan di  Akademi Badminton Negara Bukit Kiara. -Foto fail
WEE Kiong (kanan) bersama Yew Sin ketika sesi latihan di Akademi Badminton Negara Bukit Kiara. -Foto fail
Helmi Talkah


DUA beregu lelaki baharu negara, Goh V Shem-Teo Ee Yi dan Tan Wee Kiong-Ong Yew Sin perlu mengambil pendekatan positif, biarpun berdepan lawan sukar di pusingan pertama Terbuka Hong Kong yang bermula, esok.

Berdasarkan undian, V Shem-Ee Yi akan menentang pasangan nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dari Indonesia, manakala Wee Kiong-Yew Sin bertemu pilihan kelapan dari Taiwan, Lee Jhe-Huei-Lee Yang.

Ketua jurulatih beregu lelaki, Cheah Soon Kit berkata, kedua-dua pasangan berkenaan perlu positif menghadap situasi itu bagi membolehkan mereka tampil dengan prestasi terbaik dan mereka mampu melakar kejutan.

“Mereka perlu ambil pendekatan positif dalam situasi seperti ini. Disebabkan mereka bukan beregu pilihan, situasi ini memang sudah dijangka.

“Seperti yang saya sebelum ini, ia adalah sesuatu yang baik apabila dapat menyaksikan mereka menentang beregu utama dunia. Menerusi perlawanan itu, kita boleh belajar dan perbaiki kelemahan,” kata Soon Kit ketika dihubungi di Hong Kong, hari ini.

Selepas mengharungi tiga kejohanan sejak dibentuk, V Shem-Ee Yi dan Wee Kiong-Yew Sin masih

belum dapat menghasilkan keputusan positif.

Kedua-dua pasangan itu tersingkir awal pada Terbuka Perancis, Terbuka Bitburger dan Terbuka China.

Selain dua pasangan negara itu, turut membawa cabaran Malaysia di Hong Kong ialah jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei yang akan membuka tirai aksi menentang pemain China, Tian Houwei.

Jurulatih negara, Tey Seu Bock yang mengiringi Chong Wei berkata, biarpun pemain berusia 35 tahun itu tersingkir di suku akhir Terbuka China, Jumaat lalu, namun dia mendapat semula tahap keyakinannya terutama selepas memberi tentangan sengit sebelum tewas kepada pemain muda Hong Kong, Ng Ka Long dalam aksi tiga set.

“Ia perlawanan yang sukar (menentang Ka Long) untuk dia, tetapi untuk meningkatkan semangat, ia sesuatu yang positif dan dia secara perlahan mendapat semula keyakinanya. Diharapkan di sini (Hong Kong) prestasinya akan bertambah baik,” kata Seu Bock.

Beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei turut akan beraksi dan memulakan cabaran menentang pasangan Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva. Pasangan ini akan diiringi dua beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie.

Pei Jing-Kian Meng akan menentang pasangan China, Zhang Nan-Liu Xuanxuan manakala Soon Huat-Shevon bertemu Bodin Isara-Savitree Amitrapai dari Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2017 @ 3:55 PM