PEI Jing (kiri) dan Kian Meng akan bertemu lawan dari Jepun, esok. FOTO Badminton Photo
PEI Jing (kiri) dan Kian Meng akan bertemu lawan dari Jepun, esok. FOTO Badminton Photo
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pasangan beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jeng tidak mahu mengulangi kesilapan sama dengan terlalu memberi 'muka' kepada lawan memungut mata mudah.

Walaupun berjaya menundukkan pasangan India, Sharma Saurabh-Parikh Anoushka 21-8, 21-18 pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia di Huelva, Sepanyol, banyak perkara perlu diperbaiki sebelum bertemu lawan yang lebih hebat.

Pei Jeng berkata, dia perlu lebih bersiap sedia dan kurang melakukan kesilapan terutama pada pertemuan menentang pasangan Jepun esok.

"Saya memang cuba untuk biasakan diri dengan keadaan cuaca di sini dan secara keseluruhan agak baik juga dan perlu bersedia untuk perlawanan seterusnya.

"Macam perlawanan sebelum ini, kita selalu mendahului lawan namun mereka akan menyamakan kedudukan. Situasi ini tak boleh berlaku dan perlu diperbaiki," katanya.

Di pusingan ketiga, Kian Meng-Pei Jeng dijadual bertemu pilihan ketiga kejohanan dari Jepun Yuta Watanabe-Arisa Higashino.

Sementara itu, gandingan profesional negara, Ong Yew Sin-Teoh Ee Yi yang mempamerkan aksi meyakinkan berjaya menempah slot ke pusingan ketiga..

Pasangan negara itu mudah menamatkan set pertama dengan kemenangan 21-12, sebelum meneruskan rentak cemerlang pada set kedua untuk keputusan 21-19 dalam tempoh 39 minit perlawanan.

Selain itu, beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei turut tidak berhadapan masalah melangkah ke pusingan seterusnya selepas menewaskan pasangan Scotland, Alexander Dunn-Adam Hall 21-14, 19-21, 21-16.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 7:14 PM