PEI Jing-Kian Meng tewas kepada Tontowi-Lilyana  21-19, 14-21, 12-21. FOTO/ FACEBOOK BWF
PEI Jing-Kian Meng tewas kepada Tontowi-Lilyana 21-19, 14-21, 12-21. FOTO/ FACEBOOK BWF
Ferzalfie Fauzi


CABARAN negara di Terbuka Perancis berakhir apabila beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing terkandas pada suku akhir kejohanan bertaraf Siri Super itu, awal pagi tadi.

Pei Jing-Kian Meng yang juga pilihan kelapan tumpas 21-19, 14-21, 12-21 kepada Tontowi Ahmad-Lilyana Natsir dari Indonesia dalam perlawanan selama satu jam empat minit di Stade Pierre de Coubertin, Paris.

Pei Jing mengakui pengalaman menjadi pemisah ketika tewas kepada pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016 dan pilihan keempat itu walaupun mereka pernah menewaskan gandingan lawan itu di Terbuka Australia, Jun lalu.

“Selepas pungutan mata ke-11 pada set penentuan, mereka bertindak pantas untuk mencuri mata demi mata. Kami tiada peluang langsung. Jelas pengalaman membantu mereka,” kata Pei Jing ketika dihubungi sebentar tadi.

Bagaimanapun, Pei Jing tetap gembira dengan pencapaian mara ke suku akhir selepas mereka gagal memperaga aksi mantap dan tumbang di pusingan awal dalam tiga aksi Siri Super di Terbuka Korea Selatan, Jepun dan Denmark.

“Memang saya meletakkan sasaran untuk bangkit semula di Denmark dan Perancis, terutama dalam mencari semula rentak permainan dan kepuasan diri. Pada masa sama, saya cuba mendapatkan semula keyakinan di dua kejohanan ini.

“Saya rasa selepas menamatkan aksi di Eropah ini, saya sedikit demi sedikit sudah mula mendapatkan keyakinan dan perasaan tenang di dalam gelanggang,” kata pemain berusia 25 tahun itu.

Malah kemaraan ke suku akhir itu dijangka melonjakkan kembali kedudukan ranking dunia, Kian Meng-Pei Jing selepas turun satu anak tangga ke kedudukan ke-11 dalam kemas kini terbaru, Khamis lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2017 @ 12:12 PM