EDDIE (lima kiri) bersama Norza pada sidang media hari ini. FOTO BAM
EDDIE (lima kiri) bersama Norza pada sidang media hari ini. FOTO BAM
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Skuad badminton negara bakal menerima sentuhan bekas ketua jurulatih badminton China, Li Yongbo selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU), dengan FreeYond, di Axiata Arena, hari ini.

Menurut presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, Pengarah FreeYond, Datuk Eddie Chai mempunyai hubungan yang baik dengan Yongbo dan pihaknya tertarik dengan tawaran Eddie untuk menjadi penghubung antara BAM dan Akademi Li Yongbo di Dongguan, China.

"Kenapa kami menerima jalinan kerjasama dengan pihak FreeYond disebabkan Eddie mempunyai hubungan baik dengan Yongbo," katanya dalam sidang media sebentar tadi.

Ujarnya, Eddie (Pengarah Freeyond) berbincang dengan Yongbo untuk cuba membawa beberapa pemain ke akademi bekas supremo China itu.

"Ini adalah salah satu perkara yang penting yang menjadi penentu apabila FreeYond berjumpa dengan pihak kami. Apa yang saya boleh katakan ini adalah sebahagian daripada kerjasama selain dua pertiga daripada perjanjian ini membabitkan wang tunai," jelas Norza.

Beliau berkata, kehadiran FreeYond itu membuka ruang untuk memulihkan prestasi badminton negara, terutamanya perseorangan lelaki dan wanita.

"Permulaan, kita akan berbincang untuk menghantar pemain perseorangan lelaki dan wanita, dan mungkin kita juga akan menghantar pemain elit dalam melakukan persediaan ke Sukan Olimpik," kata Norza yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Sementara itu, perjanjian penajaan antara BAM dengan FreeYond membabitkan tempoh dua tahun (1+1) dengan nilai tajaan RM2 juta setahun.

Untuk rekod, Yongbo jurulatih berpengaruh di arena badminton antarabangsa, pernah menjadi ketua jurulatih kebangsaan China selama 24 tahun, selain menjadi tulang belakang mendidik legenda dunia, Lin Dan.

Kehadiran Yongbo sememangnya diharap menjadi jawapan yang sekian lama dicari BAM semenjak jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei mengumumkan persaraan pada 2019 susulan menghidap kanser hidung.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 4:54 PM