LI YONGBO
LI YONGBO
Helmi Talkah


PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) disaran membawa masuk bekas ketua jurulatih China, Li Yongbo yang dikatakan mempunyai jawapan terhadap masalah prestasi tidak menentu dialami pemain negara.

Bekas ketua jurulatih kebangsaan, Rashid Sidek mengakui kredibiliti Yongbo sudah tidak boleh dipertikaikan apabila berjaya membawa China memenangi emas dalam lapan temasya Sukan Olimpik sepanjang 24 tahun kerjayanya sebagai jurulatih.

Bagaimanapun, katanya, Yongbo perlu diberi peranan yang lebih untuk membangunkan pemain muda termasuk menerapkan budaya baharu dalam kalangan pemain Malaysia.

“Yongbo seorang jurulatih yang terkenal dengan ketegasannya dan disiplin yang tinggi. Saya fikir semua orang pun tahu, semua pemain China termasuk Lin Dan dan Chen Long sangat menghormatinya.

“Kalau kita bandingkan Malaysia dengan negara seperti China, Jepun dan Korea Selatan, perbezaannya adalah bagaimana pemain itu dididik sejak kecil.

“Jadi, dalam hal ini adalah penting untuk kita mendidik pemain kita sejak usia muda dengan budaya yang baharu bagi memastikan mereka mempunyai pakej lengkap untuk bergelar pemain utama dunia termasuk aspek disiplin dan kekuatan mental.

“Yongbo perlu diberi peranan itu, namun saya tahu ia akan memerlukan masa. Jadi, beri dia peluang untuk melakukannya.

“Saya bukan mahu kata pemain yang kita ada sekarang ini sudah tidak boleh pergi jauh lagi. Cuma untuk mengatasi masalah sekarang, kita perlu bermula daripada kosong dan sebab itu peringkat akar umbi sangat penting,” kata Rashid ketika dihubungi, hari ini.

Kenyataan Rashid itu hadir susulan daripada luahan Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menerusi laporan Sukan NSTP kelmarin yang sudah hilang sabar dengan barisan pemain negara apabila terus bergelut dengan prestasi tidak menentu, biarpun pelbagai perubahan sudah dilakukan badan induk itu terutamanya dalam menjaga kebajikan mereka.

Selepas 24 tahun menjadi jurulatih skuad badminton China, Yongbo, 56, melepaskan jawatannya pada April tahun lalu dan difahamkan dia kini menjadi salah seorang penasihat kepada Jawatankuasa Olimpik China bagi persiapan menghadapi Olimpik Tokyo 2020.

Sepanjang tempoh dia menjadi jurulatih, Yongbo membawa China menjadi negara paling berjaya dalam sukan badminton pada penampilan di Olimpik apabila memenangi 18 emas selain kejohanan utama lain termasuk Kejohanan Dunia, Piala Thomas dan Piala Sudirman.

Malah sebaik berakhirnya temasya Sukan Olimpik 2016, Yongbo pernah menyatakan secara sinis betapa jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei mampu bergelar juara dunia sekiranya mendapat bimbingannya.

“Sudah tentu kalau Chong Wei berada dalam pasukan saya, dia pasti akan menjadi juara dunia,” katanya selepas Chen Long berjaya menewaskan pemain negara itu pada final Olimpik Rio 2016 seperti dilaporkan media.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Mac 2018 @ 6:23 PM