LIEW Daren. FOTO Eizairi Shamsudin
LIEW Daren. FOTO Eizairi Shamsudin
Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengakui mereka membuat keputusan tepat apabila merestukan pemain profesional, Liew Daren beraksi pada Kejohanan Dunia di Nanjing, China, Julai depan.

Menurut Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, ini disebabkan Daren memang layak secara merit dan mereka tidak berpuas hati dengan pencapaian pemain perseorangan dari badan induk itu sendiri.

“Kami mengesahkan dia (Daren) akan beraksi pada Kejohanan Dunia dan memang dia berhak. Ini pengajaran berguna (buat pemain BAM),” kata Norza selepas mesyuarat jawatankuasa kejurulatihan dan latihan (C&T) di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.

Jelasnya, apa yang menyebabkan pemain BAM tidak melayakkan diri ke kejohanan itu (kecuali Datuk Lee Chong Wei) bukan disebabkan masalah perancangan pertandingan.

“Ia berkaitan masalah prestasi. Lee Zii Jia dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin lebih banyak menyertai kejohanan berbanding Daren. Bagaimanapun, Daren beraksi dengan lebih baik.

“Saya sudah memberitahu ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek kerana tidak berpuas hati dengan pemain perseorangan. Ia bukan salah perancangan malah kami sudah memberikan banyak pendedahan dan mereka harus fikirkan bagaimana untuk meningkatkan ranking,” katanya.

Berdasarkan ranking kelayakan, Daren menghuni tangga ke-41, manakala Lee Zii Jia ke-46 dan Iskandar 51.

Dalam pada itu, pemain yang layak tetapi tidak akan beraksi pada kejohanan itu adalah beregu campuran Chan Peng Soon-Cheah Yee See.

BAM mahu menunggu dan memberi ruang buat Peng Soon-Goh Liu Ying melayakkan diri bersama Goh Soon Huat-Shevon Lai serta Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Vivian Hoo-Woon Khe Wei turut layak dalam acara beregu wanita dan BAM mengesahkan penyertaan gandingan itu namun bergantung kepada tahap kecergasaan Khe Wei menjelang kejohanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mei 2018 @ 11:04 AM