LIU Ying memuat naik gambar memegang perut bersama pasangannya termasuk kapsyen '1+1=3'. FOTO INSTAGRAM GOH LIU YING
LIU Ying memuat naik gambar memegang perut bersama pasangannya termasuk kapsyen '1+1=3'. FOTO INSTAGRAM GOH LIU YING
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Bekas pemain beregu campuran negara, Goh Liu Ying mencetuskan tanda tanya sama ada dia sudah mendirikan rumah tangga serta lebih mengejutkan bakal menimang cahaya mata.

Ia selepas pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 bersama-sama Chan Peng Soon itu berkongsi beberapa keping gambar di akaun media sosialnya yang menyaksikannya menyarung cincin di jarinya bersama pasangannya.

Liu Ying yang popular kerana perwatakan manisnya turut berkongsi gambar memegang perutnya bersama pasangannya.

"Bertemu dengan orang yang tepat pada waktu yang tepat," tulis Liu Ying yang turut meletakkan kapsyen '1+1=3', seolah-olah memberi gambaran dia bakal menimang cahaya mata.

Status terbarunya itu menarik perhatian ramai peminat yang pantas mengucapkan tahniah kepadanya.

Liu Ying sebelum ini tidak pernah mendedahkan kisah peribadinya termasuk soal perkahwinan apatah lagi untuk menimang cahaya mata.

Dia mengumumkan persaraan pada Januari lalu dengan penampilan terakhirnya di pentas antarabangsa adalah di Terbuka Malaysia.

Selain memenangi pingat perak Olimpik Rio, Liu Ying-Peng Soon turut merekodkan keseluruhan 12 gelaran sepanjang gandingan mereka sejak 2008 termasuk muncul juara Asia 2010 dan Terbuka Jepun 2012.

Selain itu, mereka muncul naib juara dalam beberapa kejohanan utama termasuk dua kali naib juara di Terbuka Malaysia 2013 dan 2016 selain Seluruh England 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2023 @ 8:46 PM