LIU Ying ketika berpasangan bersama Chan Peng Soon di temasya Olimpik Tokyo. -FOTO Arkib
LIU Ying ketika berpasangan bersama Chan Peng Soon di temasya Olimpik Tokyo. -FOTO Arkib
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain beregu campuran profesional, Goh Liu Ying memasang impian mahu menyamai rekod Legenda Badminton Negara Datuk Lee Chong Wei dengan menyertai kejohanan Olimpik buat kali keempat di Paris kelak.

Liu Ying yang kini berpasangan dengan Ong Yew Sin berkata, berdasarkan kepada prestasi terkininya tidak mustahil dia mampu merealisasikan impian berkenaan menerusi latihan intensif dan penyertaan di kejohanan di peringkat antarabangsa.

Malah, dia turut mengakui kini lebih bersemangat untuk mencapai impian terbabit selepas kontrak tajaan mereka bersama Li-Ning Malaysia dilanjutkan selama dua tahun.

"Sudah tentu saya ingin dan akan cuba sedaya upaya untuk layak ke temasya Paris. Namun, segalanya bergantung kepada kondisi saya pada masa akan datang.

"Saya amat berterima kasih kepada Li-Ning di atas kesudian mereka untuk terus menyokong karier profesional saya. Sejak saya menjadi pemain bebas, Li-Ning adalah tulang belakang di sebalik kejayaan yang saya kecapi.

"Saya akan terus buat yang terbaik untuk membalas kepercayaan mereka." kata pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016.

Mengikut rekod, Liu Ying sebelum ini berpisah dengan Chan Peng Soon, selepas 13 tahun bergandingan dengan pencapaian tertinggi merangkul pingat perak di temasya Olimpik Rio 2016.

Walaupun bersama Liu Ying, Yew Sin yang mencuri tumpuan meraih gangsa beregu lelaki bersama Teo Ee Yi pada Kejuaraan Dunia 2021 di Huelva, Sepanyol,tahun lalu akan terus bergandingan bersama pasangannya itu dalam kategori berkenaan.

Liu Ying-Yew Sin bakal menghadapi saingan tiga pusingan Jelajah Dunia secara berturut-turut iaitu Terbuka Jerman Super 300 (Mac 8-13), Seluruh England Super 1000 (Mac 16-20) dan Terbuka Swiss Super 300 (Mac 22-27).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 2:54 PM