LIU Ying (kiri) bersara selepas bergandingan buat kali terakhir dengan Peng Soon, semalam. FOTO ASWADI ALIAS
LIU Ying (kiri) bersara selepas bergandingan buat kali terakhir dengan Peng Soon, semalam. FOTO ASWADI ALIAS
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Sebagai menghargai sumbangan Goh Liu Ying, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan satu majlis khas akan diadakan buat bekas pemain beregu campuran negara itu yang bersara, semalam.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, satu majlis ringkas, tetapi penuh bermakna akan diadakan buat Liu Ying sebelum aksi separuh akhir Terbuka Malaysia 2023 bermula pada Sabtu ini.

"Kami merancang untuk turut mengadakan perlawanan pertunjukan pada majlis itu. Akan ada jemputan daripada kalangan pemain dan teman rapat Liu Ying.

"Majlis itu bagi menghargai jasa dan pengorbanan Liu Ying yang mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa sepanjang kerjayanya.

"Jadi, saya menyeru peminat badminton tempatan untuk beramai-ramai hadir ke stadium, mana yang belum ada tiket, masih boleh beli lagi. Kejutan lain, tunggu pada Sabtu ini," kata Kenny.

Liu Ying, 34, yang memenangi pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 bersama pasangannya, Chan Peng Soon dilabel sebagai pasangan beregu campuran terbaik negara.

Pada penampilan terakhirnya, dia yang kembali bergandingan bersama Peng Soon tewas 21-18, 15-21, 7-21 kepada gandingan Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati pada pusingan pertama Terbuka Malaysia, semalam.

Pengakhiran kerjayanya pada saingan Terbuka Malaysia kali ini disifatkan cukup signifikan buat pemain kelahiran Melaka itu yang menyaksikan dia memulakan gandingannya bersama Peng Soon di kejohanan sama, 15 tahun lalu.

Peng Soon-Liu Ying merekodkan keseluruhan 12 gelaran sepanjang bergandingan sejak 2008 termasuk muncul juara Asia 2010 dan Terbuka Jepun 2012.

Mereka muncul naib juara dalam beberapa kejohanan utama termasuk dua kali di Terbuka Malaysia 2013 dan 2016 selain Seluruh England 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 4:53 PM