Aksi beregu campuran negara, Liu Ying (kiri) dan Chan Peng Soon. FOTO File NSTP
Aksi beregu campuran negara, Liu Ying (kiri) dan Chan Peng Soon. FOTO File NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Goh Liu Ying tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa selepas gagal mara ke pentas separuh akhir Terbuka Switzerland.

Liu Ying serta gandingannya, Chan Peng Soon tersingkir di suku akhir semalam selepas tewas 21-14, 19-21, 15-21 kepada gandingan Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje.

Bagi pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu, kejohanan berkenaan cukup penting kerana ia turut menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Sebenarnya ini adalah pertemuan pertama kami dengan mereka. Jadi kami tidak tahu bagaimana gaya permainan mereka. Saya akui kami ada lakukan beberapa kesilapan mudah yang menguntungkan mereka.

"Memang sangat kecewa dengan kekalahan ini kerana Terbuka Switzerland adalah salah satu peluang untuk kami kutip mata kelayakan maksimum ke Olimpik.

"Secara jujur, permainan kami banyak berbeza berbanding dahulu, mungkin sudah sedikit menurun. Bagaimanapun, kami akan bincang dengan jurulatih untuk memperbaikinya," katanya.

Peng Soon-Liu Ying memiliki masa kira-kira seminggu untuk melakukan persiapan terbaik bagi menghadapi kejohanan Seluruh England (All England) yang akan berlangsung di Birmingham 17 hingga 21 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 5:31 PM