PEMAIN badminton beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi. FOTO FB BAM
PEMAIN badminton beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi. FOTO FB BAM
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: "Kalau orang zaman dulu boleh berpuasa ketika berperang, kenapa saya yang hanya berlatih dalam dewan tak boleh berpuasa."

Itu antara motivasi digunakan pemain badminton beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi bagi menempuh bulan puasa tatkala masih perlu menjalani latihan di siang hari bersama rakan sepasukannya.

Menurut Wan Arif, ketika ini dia bersyukur masih kuat dalam menghadapi cabaran bulan puasa sebagai seorang atlet sambil memberitahu masih berpuasa penuh tanpa ponteng walau sehari.

"Selagi mampu bertahan saya bertahan, kecuali kalau betul-betul badan tak larat.

Sebab saya setiap hari kena berlatih dan ia satu yang memang penat terutama ketika bulan puasa.

"Satu lagi seperti kita tahu puasa ini ibadah wajib. Kalau dulu mereka berperang sambil berpuasa kenapa kita tidak boleh buat benda sama lagi-lagi cuma berlatih di dalam dewan.

"Saya bersyukur sebab masih cergas dan bertenaga untuk jalani ibadah puasa serta masih belum ponteng puasa sebab alasan penat," katanya.

Wan Arif turut berharap pada tahun ini dia diberikan peluang untuk cuti menyambut perayaan Aidilfitri bersama keluarga selepas hampir dua tahun meraikannya di perantauan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2023 @ 6:33 PM