KHAIRULNIZAM akui cuaca yang tidak begitu panas dan sejuk membuatkan dia tidak berasa kepenatan. FOTO Ihsan Khairulnizam Mohd Afendy
KHAIRULNIZAM akui cuaca yang tidak begitu panas dan sejuk membuatkan dia tidak berasa kepenatan. FOTO Ihsan Khairulnizam Mohd Afendy
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pengalaman menjalani ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan beribu batu jauhnya di bumi Eropah bukan sesuatu yang baharu buat atlet pelayaran negara, Khairulnizam Mohd Afendy.

Bukan sekali dua, sebaliknya lebih lima kali atlet negara berusia 28 tahun itu berperang di dapur menyediakan sendiri juadah sahur dan berbuka puasa sekali gus memberi kenangan amat manis dan cukup berharga baginya.

"Saya pun sudah tak ingat berapa kali berpuasa di luar negara, mungkin lebih lima kali. Memanglah banyak beza berpuasa di Malaysia dengan di Eropah seperti tempoh berpuasa yang lebih panjang. Tapi cuaca yang tidak begitu panas dan sejuk membuatkan saya tidak berasa kepenatan seperti di Malaysia yang agak panas.

"Soal makanan pula, saya makan sahaja apa yang ada kerana kita tahu hendak dapatkan makanan seperti di Malaysia agak terhad.

"Di Eropah tak ada bazar ramadan dan pilihan restoran atau kedai makanan yang banyak seperti di Malaysia, jadi semuanya kena sediakan sendiri," katanya.

Khairulnizam yang berjaya meletakkan namanya dalam kelompok 30 pelayar terbaik di Kejohanan Trofeo SAR Princess Sofea (Piala Dunia) yang berlangsung di Palma de Mallorca, Sepanyol, awal bulan ini nyata bersyukur kerana pada tahun ini berkesempatan menjalani ibadah berpuasa di Malaysia serta bakal menyambut Aidilfitri bersama keluarga tersayang.

"Selepas habis saja kejohanan di Sepanyol, saya kini sudah pulang ke Malaysia. Sekarang rutin saya adalah menjalani latihan seperti biasa untuk persiapan di Kejohanan Dunia dekat Riviera Nayarit, Mexico dari 21 hingga 28 Mei ini.

"Untuk hari raya nanti saya ambil cuti sekejap balik ke Johor di sebelah keluarga isteri. Mungkin saya ambil cuti dua atau tiga hari dan kemudian sambung berlatih untuk persiapan di Kejohanan Dunia.

"Saya tak boleh berehat lama sangat kerana Kejohanan Dunia sudah terlalu dekat ketika itu. Lagi pun momentum saya sedang berada pada tahap terbaik, jadi kena kekalkan momentum itu sehingga ke Kejohanan Dunia," katanya.

Khairulnizam, yang beraksi di Olimpik London 2012, Rio 2016 dan Tokyo 2020 menyertai Kejohanan Dunia dalam usahanya mempersiapkan diri ke Sukan Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2022 @ 11:07 PM