CHONG Wei mengucapkan selamat berpuasa kepada umat Islam di akaun Facebook miliknya. FOTO FB Lee Chong Wei
CHONG Wei mengucapkan selamat berpuasa kepada umat Islam di akaun Facebook miliknya. FOTO FB Lee Chong Wei
Ferzalfie Fauzi


LEGENDA badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengakui sangat menghormati individu yang digelarnya 'H' sewaktu mereka berlatih bersama dalam bulan Ramadan di Bukit Jalil satu ketika dahulu.

Bekas pemain nombor satu dunia itu berkata, sampai sekarang beliau masih belum dapat melupakan peristiwa 'H' berjaya menahan sabar walaupun berlatih ketika berpuasa.

"Saya masih ingat ketika berusia belasan tahun dan baru saja masuk Bukit Jalil. Ketika itu bulan puasa dan panas terik," katanya dalam laman sosial, Facebook miliknya.

Chong Wei mengakui ketika itu jurulatihnya berada dalam keadaan marah, mungkin disebabkan bergaduh dengan isteri atau kalah main saham.

"Beliau (jurulatih) asyik marah saja ketika membawa skuad pelapis berlatih termasuk saya di trek. Beliau suruh kami lari sejauh 12 kilometer dan keadaan cuaca sangat panas.

"Sambil lari saya toleh ke belakang, hati saya memang rasa kesian dengan rakan sepasukan beragam Islam bernama 'H'. Saya tanya dia masih bertenaga atau tidak sebab mukanya nampak pucat. Bagaimanpun, dia menjawab masih 'ok'.

"Selepas habis berlari saya duduk mencangkung di penjuru stadium kerana kepenatan. Saya minum air sambil membasuh muka akibat terlampau panas.

"Selepas itu, 'H' pun sampai, saya ingat dia mahu minta air dan saya bersedia untuk memghulurkan kepadanya. Bagaimanapun, dia hanya tersenyum, basuh muka dan pulang ke asrama. Saya 'respek' dengannya," kata Chong Wei.

Pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu berkata, ketika berbuka beliau nampak kepuasan di wajah 'H' apabila terdengar bunyi azan.

"Sampai sekarang saya tidak luntur menghormati keperibadiannya," kata Chong Wei yang mengucapkan selamat berpuasa kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

"Walaupun tidak mengamalkan ibadah puasa, tapi saya harap kawan-kawan semua dapat berpandangan positif ketika berpuasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di rumah bersama keluarga tersayang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2020 @ 9:47 PM