TANG Jie tekad lakukan yang terbaik untuk terus maju. -Foto fail
TANG Jie tekad lakukan yang terbaik untuk terus maju. -Foto fail
Ferzalfie Fauzi


SATU kejuaraan dalam dua kejohanan boleh dianggap membanggakan buat pemain beregu campuran negara, Chen Tang Jie, namun dia sendiri mengakui mampu melakukan lebih baik terutama pada Cabaran Antarabangsa India yang berakhir semalam.

Tang Jie yang bergandingan bersama Goh Liu Ying, mengakui banyak melakukan kesilapan pada Cabaran Antarabangsa India sekali gus menghalang hasratnya mengulangi pencapaian juara pada Siri Antarabangsa India bulan lalu.

Menurut pemain berusia 19 tahun itu, secara keseluruhan dia memang beraksi baik minggu lalu namun pada pertemuan separuh akhir (Sabtu) menentang Chang Tak Ching-Ng Wing Yung dari Hong Kong, dia banyak melakukan kesilapan.

“Kesilapan banyak dilakukan dan saya rasa mampu bermain dengan lebih baik,” katanya yang juga pemenang pingat gangsa beregu campuran, Kejohanan Remaja Dunia tahun lalu.

Jelasnya, bergandingan bersama pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Liu Ying membolehkanya belajar banyak perkara baik di dalam mahupun di luar gelanggang.

“Saya banyak belajar dalam dua kejohanan ini. Ini juga kali pertama saya bergandingan bersama pemain senior dan berasa sedikit gementar apabila berada di dalam gelanggang.

“Antara kelemahan saya di dalam gelanggang ialah terlalu fokus untuk mencatat kemenangan. Ia menyebabkan saya terganggu untuk memberikan yang terbaik,” kata Tang Jie.

Ketua jurulatih beregu campuran negara, Chin Eei Hui membuat keputusan menggandingkan Tang Jie bersama Liu Ying bagi memberi pendedahan kepada pemain pelapis negara untuk bergandingan serta beraksi dalam kejohanan lebih besar.

Seorang lagi pemain beregu campuran negara, Chan Peng Soon diberi peluang berpasangan dengan Peck Yen Wei dan Cheah Yee See.

Ditanya mengenai perancangan ataupun kejohanan yang bakal disertainya selepas ini, Tang Jie mengakui buat masa ini dia tidak tahu-menahu mengenai aksi seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 2:01 PM