TANG Jie mahu perbaiki kekuatan diri.
TANG Jie mahu perbaiki kekuatan diri.
Ferzalfie Fauzi


SELEPAS sering tumpas pada pemain kurang ternama selain gagal memberi saingan kepada lawan utama, Chen Tang Jie kini berazam untuk fokus kepada usaha mempertingkatkan kekuatan mental bagi menghadapi musim baharu.

Pemenang gangsa Kejohanan Remaja Dunia 2016 acara beregu campuran itu, mengakui sepanjang tahun ini ada menunjukkan peningkatan apabila muncul naib juara Siri Antarabangsa Malaysia, New Zealand dan juara Siri Antarabangsa India, namun ia masih belum sempurna.

“Saya rasa selepas ini perlu memperbaiki tahap kekuatan mental dengan lebih terperinci sebelum beraksi di mana-mana kejohanan luar,” kata pemain berusia 19 tahun itu mengulas azamnya musim depan.

Mengulas lanjut, Tang Jie juga berjanji akan sentiasa memberikan aksi terbaik tidak kira siapa pun gandingannya tahun depan, iaitu sama ada Cheah Yee See mahupun Peck Yen Wei.

“Siapa saja gandingan saya selepas ini saya tidak kisah. Paling penting ialah saya mampu melakukan yang terbaik untuk mereka. Bagi saya kedua-dua pemain (Yee See dan Yen Wei) mempunyai kelebihan masing-masing dan sama-sama sentiasa bekerja keras.

“Saya boleh bermain dengan mana-mana pemain sekali pun. Ini kerana saya akan cuba menyesuaikan diri dengan pasangan agar permainan yang lebih baik dapat terhasil,” katanya.

Berdasarkan rekod tahun lalu dan musim ini Tang Jie jelas sekali layak dilabel sebagai pemain versatil walaupun kerap kali bertukar gandingan.

Dia meraih gangsa dalam acara beregu campuran di Kejohanan Remaja Dunia di Bilbao, Sepanyol ketika bergandingan bersama Toh Ee Wei, manakala ketika bergelar naib juara Siri Malaysia dan New Zealand beregu lelaki, gandingannya ketika itu ialah Soh Wooi Yik.

Kejayaan pada Siri Antarabangsa India pula terhasil selepas memperagakan aksi mantap bersama pemenang pingat perak beregu campuran Sukan Olimpik Rio 2016, Goh Liu Ying.

Tang Jie akan memulakan kempen 2018 dengan beraksi di Masters Thailand (9 hingga 14 Januari) bergandingan bersama Yen Wei, manakala di Masters Malaysia (16 hingga 21 Januari) dia bakal bergabung tenaga bersama Yee See.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2017 @ 1:42 PM