AKSI Tang Jie dan Ee Wei ketika menentang beregu Korea. FOTO BAM
AKSI Tang Jie dan Ee Wei ketika menentang beregu Korea. FOTO BAM
Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei melakar kejutan menewaskan pilihan ketujuh dari Korea Selatan Kim Won Ho-Jeong Na Eun dalam aksi pembukaan Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Dubai lewat malam tadi.

Menghuni ranking ke-22 dunia Tang Jie-Ee Wei meneruskan rentak cemerlang selepas menjuarai Kejohanan Orleans Masters di Perancis baru-baru ini apabila mengatasi lawan mereka 21-14, 21-13 dalam masa 34 minit.

Tang Jie-Ee Wei akan bertemu bekas juara All England Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti dari Indonesia yang menyingkirkan beregu Jepun, Kyohei Yamashita-Naru Shinoya 21-17 21-16.

Turut mara ke pusingan 16 terakhir adalah beregu profesional negara yang juga pilihan kelapan Goh Soon Huat-Shevon Lai.

Soon Huat-Shevon mempamerkan kebangkitan apabila bangkit daripada ketinggalan 11-15 meraih 10 mata berturut-turut sebelum mengesahkan kemenangan 15-21, 22-20, 21-15 ke atas pemain Taiwan, Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin.

Menanti Soon Huat-Shevon ialah beregu China Cheng Xing-Chen Fang Hui yang menewaskan pemain Hong Kong, Reginald Lee-Ng Tsz Yau 18-21, 21-19, 21-19.

Sementara itu perjalanan beregu campuran profesional yang menghuni ranking ke-13 dunia terhenti apabila Tan Kian Meng-Lai Pei Jing tewas 21-17, 21-13 kepada juara Terbuka Switzerland Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dari China 21-17 21-13.

Ia penyingkiran pusingan pertama kelima mereka dalam tujuh kejohanan tahun ini.

Turut mara ke pusingan kedua beregu lelaki Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang menundukkan beregu India, P S Ravikrishna-Sankar Prasad Udayakumar 21-12, 21-17.

Manakala satu lagi beregu campuran Chan Peng Soon-Cheah Yee See tewas kepada Rohan Kapoor-Reddy Sikki 12-21, 16-21.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2023 @ 11:23 AM