Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Kuala Lumpur: Adakah pemain perseorangan negara Ng Tze Yong pengganti kepada legenda badminton Datuk Lee Chong Wei?

Hal ini kerana legenda badminton negara itu menyerahkan raket kesayangannya kepada pemain perseorangan negara itu sebaik tamat perlawanan pertunjukan legenda badminton dunia 'Yonex Legend Vision' di Arena Axiata sebentar tadi.

Situasi itu sebenarnya menggambarkan seribu satu makna apabila secara tidak langsung memberi petunjuk bahawa Chong Wei lebih memilih Tze Yong berbanding seorang lagi perseorangan negara Lee Zii Jia sebagai penggantinya kelak.

Ketika mengulas mengenai situasi berkenaan, Chong Wei berkata, pemberian raket itu sebenarnya adalah untuk membawa tuah atau 'ong' kepada pemain berusia 21 tahun itu supaya terus kental dan berusaha gigih mencipta kejayaan demi negara.

Beliau berkata, pemberian raket itu juga diharap dapat meniup semangat pemain muda negara itu yang kini diletakkan sebagai antara sandaran utama untuk membawa kejayaan dalam acara perseorangan lelaki pada kejohanan akan datang.

"Saya fikir bagus untuk Tze Yong kerana dia sekarang pemain perseorangan utama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan saya fikir beri raket kepadanya akan ada 'ong' atau nasib baik.

"Pada masa sama, saya harapkan dia dapat kejayaan di Sukan Komanwel kelak. Semua ada tekanan dan saya mahu dia tahu bahawa bukan senang untuk mengatasinya.

CHONG Wei (kanan) menyerahkan raketnya kepada Tze Yong selepas sesi Yonex Legends di Axiata Arena Bukit Jalil. -FOTO Aswadi Alias
CHONG Wei (kanan) menyerahkan raketnya kepada Tze Yong selepas sesi Yonex Legends di Axiata Arena Bukit Jalil. -FOTO Aswadi Alias

"Kita tengok dia memang ada potensi dan harap dengan perlawanan ini (Terbuka Malaysia) dia tahu tahapnya di mana.

"Mungkin ada beberapa perkara harus diperbaiki termasuklah meningkatkan tahap kecergasan kerana dia akan mengharungi perlawanan satu perlawanan saja namun sebenarnya banyak," katanya, ketika ditemui sebaik selepas perlawanan pertunjukan legenda badminton dunia 'Yonex Legend Vision' di Arena Axiata, sebentar tadi.

Pada perlawanan terbabit menyaksikan Chong Wei bersama legenda badminton dunia seperti Taufik Hidayat (Indonesia), Peter Gade Christensen (Denmark) dan Lee yong-dae (Korea Selatan) beraksi dalam pertunjukan awal bersama pemain pelapis negara.

Mengikut rekod, Tze Yong yang menduduki ranking ke-48 dunia dipilih untuk menggantikan tempat Zii Jia untuk beraksi di pentas Sukan Komanwel kelak.

Pada musim ini, pencapaian terbaik Tze Yong adalah mara ke separuh akhir Terbuka India, Januari lalu namun tewas di tangan wakil tuan rumah, Lakshya Sen 21-19, 16-21, 12-21.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 3:59 PM