CHONG Wei (dua kanan) Taufik Hidayat (kiri), Peter Gade (kanan) dan Lee Yong Dae ketika perlawanan pertunjukan pada sesi Yonex Legends di Axiata Arena Bukit Jalil. -FOTO Aswadi Alias
CHONG Wei (dua kanan) Taufik Hidayat (kiri), Peter Gade (kanan) dan Lee Yong Dae ketika perlawanan pertunjukan pada sesi Yonex Legends di Axiata Arena Bukit Jalil. -FOTO Aswadi Alias
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei memberi peringatan kepada pemain badminton negara supaya kurangkan bermain media sosial dengan memberi tumpuan sepenuhnya kepada meningkatkan prestasi masing-masing.

Beliau berkata, nasihat itu diberikan memandangkan media sosial boleh menjadi 'duri dalam daging' buat pemain terutama apabila mereka di 'smash' oleh netizen menerusi komen negatif.

Katanya, perkara utama yang harus dilakukan pemain adalah memberi tumpuan kepada karier dan tidak lagi terlalu 'taksub' kepada media sosial hingga menganggu prestasi mereka.

"Waktu ini paling popular adalah platform media sosial kerana generasi sekarang adalah berbeza termasuklah pemikiran anak muda.

"Apa yang harus dilakukan adalah perlu kawalan terhadap penggunaan platform media sosial dan fokus kepada badminton saja.

"Saya pernah tengok ada pemain belum minum air sudah 'selfie' dan tulis di media sosial. Ini tidak baik kerana boleh hilang fokus pada latihan.

"Kalau kita lihat komen positif daripada penyokong di media sosial tak mengapa tapi jika perkara negatif boleh mengganggu tumpuan pemain," katanya, ketika ditemui sebaik selepas perlawanan pertunjukan legenda badminton dunia 'Yonex Legend Vision' di Arena Axiata, sebentar tadi.

Ketika ini dilihat beberapa pemain badminton negara gemar menggunakan platform media sosial untuk berkongsi kisah kehidupan dan latihan mereka sehingga mengundang pelbagai komen daripada netizen.

Selain itu, Chong Wei berkata, ketika bergelar sebagai pemain badminton negara, beliau menjauhi media sosial bagi mengelak dirinya kecewa apabila membaca 'pandangan' dari netizen.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 5:21 PM