CHONG Wei mengakui Terbuka Malaysia sangat istimewa buatnya selaku juara sebanyak 12 kali. FOTO BERNAMA
CHONG Wei mengakui Terbuka Malaysia sangat istimewa buatnya selaku juara sebanyak 12 kali. FOTO BERNAMA
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Beregu utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik serta pemain perseorangan profesional, Lee Zii Jia menjadi pilihan legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berpeluang muncul juara Terbuka Malaysia yang bakal bermula esok.

Chong Wei yang memenangi Terbuka Malaysia sebanyak 12 kali dengan kali terakhir pada 2018 iaitu kali terakhir juga wakil negara memenangi kejohanan berprestij itu berkata, Terbuka Malaysia cukup istimewa di hatinya dan untuk itu beliau mengharapkan kejayaannya itu dapat diulangi oleh barisan pemain negara ketika ini.

"Peluang terbaik untuk memenangi kejuaraan adalah menerusi Aaron-Wooi Yik serta Zii Jia, tetapi ia juga bergantung kepada keadaan dan permainan mereka.

"Terbuka Malaysia sentiasa istimewa untuk saya. Kenapa? Sebab bermain di tempat sendiri, di rumah sendiri, jadi harapan orang ramai sangat tinggi dan penyokong datang memberi sokongan.

"Ia adalah tanggungjawab berat, jadi buatlah yang terbaik untuk karier dan negara anda," katanya ketika ditemui pada majlis pengenalan dua ahli baharu Yonex Legends Vision iaitu sensasi India, Saina Nehwal serta bintang Sepanyol, Carolina Marin, hari ini.

Turut hadir, legenda China dan dunia, Lin Dan yang juga anggota Yonex Legends Vision.

Jelas Chong Wei, beliau pernah tersentuh melihat kesungguhan peminat badminton negara yang datang dari jauh hanya semata-mata mahu menyaksikannya muncul juara di Terbuka Malaysia.

"Sepanjang pengalaman, saya pernah lihat peminat datang dari Kuantan untuk menyaksikan Terbuka Malaysia. Dia beritahu datang menaiki bas dan saya memang sangat tersentuh ketika itu.

"Apabila muncul juara, saya sangat merasai pengorbanan mereka. Jadi setiap pemain perlu bekerja keras, beraksi dengan bagus dan jangan cepat berputus asa," katanya.

Chong Wei memberi contoh sikap tidak pernah mengenal erti berputus asa seperti dilakukannya pada pentas final Terbuka Malaysia 2006 di Kuching, Sarawak menewaskan seteru tradisi, Lin Dan, yang juga kemenangan paling diingatinya.

Ketika itu Lin Dan hanya dipisahkan satu mata daripada kejuaraan selepas mendahului 20-13 dalam set penentuan ke atas Chong Wei.

Dia kemudian bangkit mendapatkan tujuh mata berturut-turut untuk mengikat Lin Dan 20-20 sebelum memenanginya dengan 23-21 bagi menjulang kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut.

"Penyokong tak mahu melihat anda cepat berputus asa, kalah tak apa tapi jangan mudah mengalah kerana mereka (penyokong) faham anda sudah berjuang.

"Harap kali ini bukan saja Aaron-Wooi Yik dan Zii Jia, tetapi semua pemain ada peluang untuk bergelar juara. Tapi saya nampak kedua-dua pemain ini boleh bergelar juara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2024 @ 7:44 PM