AKSI Tze Yong hari ini. FOTO Fathil Asri
AKSI Tze Yong hari ini. FOTO Fathil Asri
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemain veteran perseorangan lelaki, Liew Daren tidak keseorangan dalam undian utama Masters Malaysia esok, apabila tiga wakil negara dari pusingan kelayakan, Ng Tze Yong, Leong Jun Hao dan Soong Joo Ven berjaya melepasi lawan masing-masing hari ini di Arena Axiata.

Selepas ketiadaan Lee Zii Jia yang menarik diri, peminat badminton tanah air, sudah pasti berasa lega dan tidak sabar untuk melihat Daren, Tze Yong, Jun Hao dan Joo Ven menggalas cabaran bagi saingan perseorangan lelaki.

Tze Yong yang sebelum ini diberi tanggungjawab menggantikan Zii Jia di Sukan Komanwel tidak berdepan masalah untuk mencatat dua kemenangan, bermula dengan menundukkan pemain profesional negara, Yeoh Seng Zoe 21-12, 21-13 pada aksi di sebelah pagi, sebelum mengesahkan kemaraan ke undian utama apabila mengalahkan Lee Dong Keun (Korea Selatan) 21-8, 21-12.

"Saya rasa prestasi saya lebih baik hari ini dan berharap ia mampu disambung untuk pusingan pertama esok. Saya tidak fikir banyak mengenai lawan saya (Brian Yang dari Kanada) esok dan juga tidak berasa bebanan selepas Zii Jia menarik diri," kata pemain kelahiran Johor itu.

Dalam masa sama Tze Yong juga mengakui mendapat sedikit motivasi selepas legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menghadiahkan raket kepadanya ketika Program Yonex Legend hujung minggu lalu.

"Pasti ia menaikkan motivasi saya, walaupun saya rasa tidak ada beza permainan minggu lalu (Terbuka Malaysia) dan di pusingan kelayakan Masters Malaysia hari ini. Cuma sudah rasa lama tidak bermain seperti ini," katanya.

Sementara itu Jun Hao mara selepas mengetepikan wakil profesional negara, Cheam June Wei 16-21, 21-15, 21-16 pada sebelah pagi, sebelum mengalahkan juara Terbuka Korea tahun ini, Weng Hong Yang 5-21, 21-17, 21-13.

"Saya rasa amat gembira kerana berjaya mengalahkan pemain yang mempunyai ranking lebih baik dari saya. Hari ini memang saya beraksi dengan corak permainan saya sendiri. Satu lagi sebab saya mara ke undian utama adalah beraksi di laman sendiri dan sentiasa berfikir jangan putus asa.

Kehadiran peminat membuatkan saya lebih bersemangat walaupun tumpas di set pertama," kata Jun Hao yang akan menentang Kantaphon Wangcharoen dari Thailand esok.

Joo Ven pula mara selepas mengalahkan rakan senegara, Aidil Sholeh Ali Sadikin, 14-21, 21-14, 21-16 di sebelah pagi, sebelum berhempas-pulas mengetepikan lawan dari Denmark, Victor Svendsen 21-9, 16-21, 21-10.

Menanti Joo Ven di pusingan pertama esok ialah wakil China, Li Shi Feng, manakala Daren pula yang tidak perlu beraksi di kelayakan bakal berdepan pilihan kelapan dari Hong Kong, Ng Ka Long.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2022 @ 4:45 PM