PEMAIN perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong tewas kepada pemain Taiwan, Chou Tien Chen di pusingan kedua Masters Malaysia, hari ini. FOTO FATHIL ASRI.
PEMAIN perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong tewas kepada pemain Taiwan, Chou Tien Chen di pusingan kedua Masters Malaysia, hari ini. FOTO FATHIL ASRI.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kem badminton Malaysia menerima tamparan hebat selepas tiada seorangpun pemain perseorangan negara sama ada lelaki atau wanita melangkah ke suku akhir Masters Malaysia, esok.

Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong terkandas pada aksi pusingan kedua selepas tewas 21-18, 21-16 di tangan pemain pilihan keempat kejohanan, Chou Tien Chen dari Taiwan, hari ini.

Biarpun tewas, pemain nombor 48 dunia itu berhak diberi pujian kerana mempamerkan semangat tinggi, namun kelebihan pengalaman Tien Chou membawanya mara ke suku akhir.

Tze Yong berkata, beliau hanya perlu meningkatkan tahap kekuatan fizikal dan staminanya untuk menyaingi pemain pada ranking lebih tinggi seperti lawannya hari ini, di masa hadapan,

Pemain berusia 22 tahun itu berkata, penyertaan dalam Terbuka Malaysia minggu lalu dan Masters Malaysia telah meningkatkan keyakinannya untuk beraksi dalam Sukan Komanwel Birmingham 2022, England yang dijadualkan berlangsung dari 28 Julai hingga 8 Ogos.

"Saya tidak mahu memikirkan pingat di Sukan Komanwel pada masa ini kerana saya berharap untuk memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan di sana," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Tze Yong tersingkir awal di pusingan pertama Terbuka Malaysia 2022 selepas ditewaskan Lu Guang Zu dari China, 16-21, 23-21, 18-21.

Biarpun pemain perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei bermain secara agresif untuk mengatasi bintang Taiwan, Tai Tzu Ying, 21-16 dalam set pertama, bekas juara remaja dunia itu kelihatan tidak bertenaga dalam set seterusnya sebelum tewas kepada Tzu Ying 7-21, 9-21.

Jin Wei yang juga pemain nombor 69 dunia sedih kerana tidak dapat meneruskan kemaraannya dan mengakui terdapat jurang besar antara beliau dengan Tzu Ying yang berada di kedudukan kedua ranking dunia.

"Saya memberikan 200 peratus dalam set pertama dan kemudian saya hilang tenaga untuk berjuang dalam set kedua dan ketiga.

"Saya perlu meningkatkan stamina dan mempelajari banyak perkara daripada Tzu Ying terutama dalam strategi dan kesabaran beliau sepanjang perlawanan," katanya.

Pada masa sama, Juara Belia Olimpik 2018 itu berkata, beliau kini selesa dengan pilihannya untuk beraksi secara profesional, tetapi mengalu-alukan sebarang bantuan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) atau Institut Sukan Negara (ISN) untuk menjadikan beliau seorang pemain terkemuka di masa hadapan.

"Ya, semuanya bergantung kepada mereka (MSN dan ISN) tetapi saya sudah membuat keputusan dan bersedia untuk ini (menjadi profesional).

"Jika mereka ingin membantu ia adalah satu bonus kepada saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Julai 2022 @ 9:40 PM