AKSI Zii Jia ketika bertemu Korea Selatan di separuh akhir Piala Sudirman. FOTO AFP
AKSI Zii Jia ketika bertemu Korea Selatan di separuh akhir Piala Sudirman. FOTO AFP
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia enggan pisang berbuah dua kali tewas di tangan wakil China, Lu Guang Zu apabila bakal membuat perhitungan dengan pemain itu pada aksi pusingan pertama Masters Malaysia, esok.

Menurut Zii Jia, meskipun mengakui dirinya pada tahap prestasi terbaik selepas beraksi cemerlang ketika saingan Piala Sudirman di Suzhou, China, minggu lalu, namun pemain nombor lapan dunia itu meramalkan ia akan menjadi perlawanan yang sukar.

"Ini adalah minggu baharu untuk saya dan saya perlu bermula semula. Saya pernah kalah dengan dia sebelum ini dan saya jangkakan ia akan menjadi perlawanan yang sukar.

"Apa yang paling penting sekarang adalah saya kekal fokus untuk menghadapi kejohanan kali ini," kata Zii Jia yang tewas di tangan Guang Zu pada pertemuan terakhir mereka di Terbuka Australia, November tahun lalu.

Jika berjaya mengatasi Guang Zu yang berada di ranking ke-12 dunia, Zii Jia akan bertemu sama ada wakil Hong Kong, Lin Chu-Yi atau Chico Aura Dwi Wordoyo dari Indonesia di pusingan kedua.

Sementara itu, seorang lagi pemain perseorangan negara, Ng Tze Yong percaya dia sudah melakukan persiapan terbaik bagi menghadapi saingan Masters Malaysia kali ini biarpun sekadar memanaskan bangku simpanan sepanjang kempen Piala Sudirman.

Tze Yong akan memulakan kempen menentang pemain Jepun, Kenta Nishimoto dan jika menang dia akan bertemu pemenang perlawanan antara pilihan ketiga dari Indonesia, Jonatan Christie dengan pemain daripada pusingan kelayakan.

"Saya tidak pernah menentang dia (Nishimoto) sebelum ini, jadi saya akan bincang dengan jurulatih sebagai persiapan menghadapi perlawanan itu nanti.

"Walaupun saya tidak bermain di Piala Sudirman, namun saya tidak fikir ia menjejaskan persiapan saya kerana di China saya tetap menjalani latihan seperti biasa. Saya harap boleh bermain dengan baik dalam kejohanan ini," kata Tze Yong yang menghuni ranking ke-21 dunia.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia bergelar juara dalam acara perseorangan lelaki di Masters Malaysia adalah pada edisi 2016 menerusi Datuk Lee Chong Wei.

Chong Wei sebelum itu muncul juara sebanyak empat kali berturut-turut bermula 2009 hingga 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2023 @ 1:19 PM