TZE Yong gembira dengan kenyataan diberikan Chong Wei. FOTO OWEE AH CHUN.
TZE Yong gembira dengan kenyataan diberikan Chong Wei. FOTO OWEE AH CHUN.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemain badminton muda negara Ng Tze Yong mengakui perjalanan kariernya masih jauh dan banyak yang perlu diperbaiki untuk mempertingkatkan tahap permainannya.

Namun kenyataan daripada Datuk Lee Chong Wei yang mengatakan bahawa dia mampu menjadi pengganti kepada idolanya itu menyuntik semangatnya untuk bekerja keras lagi selepas ini.

Tze Yong yang kini akan beraksi di Terbuka Czech yang akan membuka tirainya pada esok mengakui teruja dan terkejut dengan kenyataan dari Chong Wei itu namun dalam masa yang sama dia akan berusaha memastikan perkara itu menjadi kenyataan.

"Saya rasa sangat gembira bila Datuk (Chong Wei) sebut macam itu dan saya akan terus berusaha keras lagi selepas ini.

"Banyak lagi kelemahan yang perlu saya perbaiki lagi terutama dari segi stamina dan kekuatan.

"Sasaran saya selepas ini adalah untuk cuba muncul juara di Terbuka Czech tapi saya tak nak terlalu memberi tekanan kepada hal itu apa yang saya mahu adalah fokus setiap perlawanan dan cuba beri yang terbaik untuk setiap perlawanan," katanya.

Tze Yong selepas ini akan turut beraksi di empat lagi kejohanan iaitu Terbuka Belgium, Ireland, Scotland dan Wales.

Terdahulu Chong Wei mengakui bahawa Tze Yong mampu untuk menjadi pengganti dirinya selepas pemain itu mempamerkan aksi menakjubkan ketika menentang pemain ketujuh dunia, Jonatan Christie pada perlawanan suku akhir, Piala Thomas baru-baru ini.

Biarpun tewas, namun corak permainan yang ditampilkan oleh pemain di ranking ke-82 dunia itu kekal tenang dan bijak memerangkap lawan dilihat mampu untuk pergi lebih jauh dan mengecapi lebih banyak kejayaan di kejohanan besar selepas ini.

Tze Yong kini bersama Lee Chong Kim, Leong Jun Hao, Aidil Sholeh dan Cheam June Wei kini mengibarkan cabaran di Terbuka Czech dalam acara perseorangan lelaki.

Manakala K Letshanaa dan Siti Nurshuhaini Azman akan beraksi dalam kategori wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 5:24 PM