REXY pening kepala memikirkan kecederaan dialami pemain perseorangan negara menjelang kempen Piala Thomas. FOTO ARKIB NSTP
REXY pening kepala memikirkan kecederaan dialami pemain perseorangan negara menjelang kempen Piala Thomas. FOTO ARKIB NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Apa yang memeningkan kepala Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky sekarang ini ialah masalah kecederaan melanda pemain perseorangan lelaki negara.

Menurutnya, situasi itu ternyata membimbangkan dirinya ketika hanya berbaki sebulan sebelum kempen Piala Thomas di Chengdu, China akan bermula dari 27 April hingga 5 Mei.

"Adakah saya bimbang dengan masalah kecederaan ini? Sudah tentu. Saya bohong jika saya katakan tidak," kata Rexy.

Ujarnya, buat masa sekarang mereka tidak tahu sama ada Ng Tze Yong akan kembali cergas sepenuhnya untuk bermain selepas mengalami kecederaan belakang.

"Saya berharap kecederaan kaki dialami Lee Zii Jia di Terbuka Switzerland baru-baru ini tidak serius.

"Justin Hoh (yang baru pulih daripada kecederaan) pula menyertai Cabaran Antarabangsa Thailand minggu ini . Jadi, kita akan lihat prestasinya nanti. Kita ada lagi pilihan pemain iaitu Leong Jun Hao dan Eogene Ewe," katanya.

Dalam pada itu, Rexy mengakui 'pening kepala' untuk menentukan pemilihan pemain dalam acara beregu lelaki untuk dibawa ke Chengdu.

Katanya, selain beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang pasti bersama dalam pasukan, tiga lagi pasangan sedang dalam penilaian barisan kejurulatihan iaitu Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian.

"Ia sukar untuk menamakan pemain beregu kerana semuanya ada peluang untuk disenaraikan dalam pasukan.

"Izzuddin-Sze Fei pula sering menampilkan persembahan baik pada kejohanan berpasukan manakala Haikal-Hon Jian, walaupun pernah bermain di BATC 2024 baru-baru ini, adakah mereka bersedia main pada tahap setinggi Piala Thomas," kata Rexy.

Tambahnya, mereka turut mempertimbangkan untuk menyenaraikan gandingan profesional, Ee Yi-Yew Sin.

Katanya, pihaknya akan memutuskan dalam mesyuarat nanti sama ada membawa lima pemain perseorangan atau lima beregu atau empat perseorangan dan enam beregu ke Piala Thomas kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2024 @ 5:27 PM