AARON-Wooi Yik akan berdepan wakil tuan rumah di pusingan kedua esok. FOTO Ihsan Persekutuan Badminton Dunia
AARON-Wooi Yik akan berdepan wakil tuan rumah di pusingan kedua esok. FOTO Ihsan Persekutuan Badminton Dunia
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kembali mendapat momentum kemenangan apabila berjaya mara ke pusingan kedua Masters Indonesia hari ini.

Pasangan ranking nombor tujuh dunia itu bagaimanapun dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan beregu England, Ben Lane-Sean Vendy 21-11, 15-21, 21-8 dalam aksi pusingan pertama kejohanan yang berlangsung di Bali.

Kemenangan itu menyaksikan mereka menempah pertemuan dengan beregu Indonesia, Panjer Aji Siloka Dadiara-Bryan Sidney Elohim bagi perebutan tempat ke suku akhir, esok.

Saingan memburu gelaran pertama antarabangsa mereka menerusi Masters Indonesia cukup penting buat pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu bagi menempah tiket beraksi di Jelajah Dunia Akhir BWF, bulan depan.

Ketika ini, Aaron-Wooi Yik berada di kedudukan ke-14 dalam ranking kejohanan akhir musim itu. Hanya lapan pasangan terbaik dalam ranking Jelajah Dunia Akhir layak beraksi di kejohanan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$1.5 juta (RM6.23 juta).

Sementara itu, beregu muda wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah turut melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan profesional negara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sin 21-15, 22-20.

Juara Terbuka Switzerland 2021 itu akan menentang wakil tuan rumah, Fitriani Fitriani-Yulia Yosephine Susanto pada aksi pusingan kedua, esok.

Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai turut cemerlang mara ke pusingan kedua selepas mengatasi lawan dari Jerman, Mark Lamsfuss-Isabel Lohau 21-12, 21-15.

Sementara itu, Pearly berkata, berjaya menewaskan pasangan profesional negara bukanlah tugas mudah berikutan mereka cukup berpengalaman dan mempunyai corak permainan yang boleh 'menjerat' lawan.

"Perlawanan dengan mereka (Vivian-Chiew Sin) bukan mudah terutama pada set kedua kerana cukup bertenaga dan mampu mengekalkan momentum perlawanan.

"Bertemu dengan lawan dari Indonesia nanti sudah pastinya perlu beraksi dengan lebih baik kerana tidak pernah menentang mereka sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 7:30 PM