AARON dan Wooi Yik mara ke suku akhir Terbuka Denmark.
AARON dan Wooi Yik mara ke suku akhir Terbuka Denmark.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan kecemerlangan di Terbuka Denmark apabila mara ke suku akhir.

Diletakkan selaku pilihan kelima kejohanan, gandingan negara itu menewaskan pasangan veteran Indonesia yang juga bekas juara dunia tiga kali, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 16-21, 21-5, 21-15 pada pusingan kedua, hari ini.

Tewas di set pertama, Aaron Wooi Yik yang beraksi pada kejohanan keempat berturut-turut kembali bangkit dengan meraih kemenangan mudah di set kedua sebelum mengesahkan kemenangan di set penentuan pada perlawanan yang berlangsung di Arena Jyske Bank di Odense.

Menanti mereka di suku akhir adalah gandingan China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu.

Kemaraan ke suku akhir pastinya melegakan Aaron-Wooi Yik yang tersingkir seawal pusingan pertama di Terbuka Artik minggu lalu apabila tewas kepada rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang muncul naib juara di kejohanan berkenaan.

Sementara itu, beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei gagal meneruskan kemaraan selepas tewas kepada pilihan kelima dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 15-21, 12-21.

Turut menerima nasib sama beregu profesional wanita negara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien yang tewas di tangan wakil Hong Kong, Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam 15-21, 21-17, 20-22.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2023 @ 7:47 PM