Beregu negara Aaron Chia (kanan) dan Soh Wooi Yik mara ke peringkat suku akhir Master Indonesia. FOTO Agensi
Beregu negara Aaron Chia (kanan) dan Soh Wooi Yik mara ke peringkat suku akhir Master Indonesia. FOTO Agensi
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terus mempamerkan aksi cemerlang apabila berjaya menewaskan pasangan tuan rumah, Panjer Dadiara-Bryan Elohim 21-12,21-8 di kejohanan Master Indonesia sebentar tadi.

Kejayaan terbabit menyaksikan pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo itu melangkah ke pusingan suku akhir sekali gus berpeluang memburu gelaran pertama selepas terkandas di pusingan awal di beberapa kejohanan sebelum ini.

Pasangan terbabit tidak berhadapan masalah untuk menguasai set pertama apabila mudah menjinakkan pasangan Indonesia itu menerusi 21-12.

Walaupun pada set kedua, pasangan Indonesia cuba memberi tentangan namun Chia-Wooi Yik berjaya mengekalkan corak permainan sekali gus mencatatkan kemenangan 21-8.

Sementara itu, dua lagi pertemuan membabitkan beregu lelaki negara dengan pasangan tuan rumah menyaksikan mereka turut berjaya melangkah ke suku akhir.

Pasangan negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin berjaya menewaskan beregu Indonesia Shohibul Fikri-Bagas Maulana straight set 21-18, 22-20.

Aksi cemerlang turut dipamerkan pasangan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang tidak berhadapan masalah 'menghambat' beregu Indonesia Sabar Gutama-Moh Isfahani 21-17 21-12.

Selain itu, aksi bertenaga beregu wanita negara Pearly Tan- M Thinaah jelas tidak mampu dicabar pasangan Indonesia Fitriani Fitriani-Yulia Susianto apabila wakil tuan rumah itu terpaksa akur tewas 21-8 21-14.

Turut menempah slot ke suku akhir adalah beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See yang menyingkirkan pasangan Jerman, Jones Jansen-Linda Euler 21-14 21-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 7:17 PM