AKSI Siti ketika final Terbuka Czech. FOTO BAM
AKSI Siti ketika final Terbuka Czech. FOTO BAM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan wanita negara Siti Nurshuhaini Azman mengakui banyak yang dia pelajari ketika beraksi di Terbuka Czech biarpun hasratnya untuk muncul juara tidak kesampaian.

Dia yang baru dinaikkan dalam skuad senior bagaimanapun mempamerkan aksi memberangsangkan apabila berjaya menumbangkan pemain yang berada di ranking lebih tinggi sebelum tunduk kepada pemain pilihan kelapan dari Indonesia, Kusuma Wardani 16-21, 5-21.

Bagaimanapun, pemain muda yang tampil dengan imej berhijab itu berkata, keputusan muncul naib juara membakar semangatnya untuk terus berusaha mencipta lebih banyak kejayaan selepas ini.

"Keputusan naib juara ini satu permulaan baik dalam karier saya. Saya berharap akan dapat memperbaiki kelemahan selepas ini dan melangkah ke peringkat lebih jauh lagi. "Memang jurulatih pun pesan kepada saya agar berusaha lebih keras dan perbaiki kelemahan untuk kejohanan seterusnya. Saya tidak akan patah semangat dan akan terus berusaha lagi selepas ini," katanya.

Biarpun baru berusia 17 dan kini berada di ranking ke-269, Siti diberi kepercayaan mewakili negara ke saingan Piala Uber di Aarhusm, Denmark baru-baru ini.

Ia dianggap satu pengalaman cukup bermakna apabila dapat beraksi menentang pemain yang jauh lebih tinggi rankingnya ketika menentang pemain China, He Bing Jiao.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 8:18 PM