SITI kini duduki ranking ke-448 dunia.
SITI kini duduki ranking ke-448 dunia.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemain badminton remaja negara, Siti Nurshuhaini Azman mengakui terkejut dan pada masa sama teruja untuk tampil buat kali pertama di kejohanan berprestij Piala Uber di Aarhus, Denmark dari 9 hingga 17 Oktober ini.

Siti berkata dia akan berusaha memperbaiki segala kelemahan dan mempertingkatkan tahap fizikal agar bersedia sepenuhnya sekiranya dipilih untuk diturunkan.

"Pada mulanya saya tak jangka langsung akan terpilih. Bila dimaklumkan saya cukup terkejut dengan berita ini. Ia pasti memberi satu cabaran baharu dalam karier dan saya akan berusaha sedaya upaya untuk berikan yang terbaik.

"Buat masa ini, saya akan perbaiki segala kelemahan dan mantapkan fizikal saya supaya jika jurulatih memilih saya untuk diturunkan, saya akan dapat berikan yang terbaik untuk negara," katanya yang mendapat bimbingan Datuk Misbun Sidek dan Poh Chai Boon.

Berada di ranking ke-448 dunia, Siti sebelum ini mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Antarabangsa Slovenia Mei lalu.

Bagaimanapun, laluan skuad wanita negara untuk melepasi saingan kumpulan agak sukar apabila diundi dalam Kumpulan D membabitkan China, Denmark dan Kanada.

Namun barisan pemain terdiri daripada S Kisona, Eoon Qi Xuan, K Letshanaa, Siti dalam acara perseorangan dan Lee Meng Yean, Pearly Tan, Yap Ling, Teoh Mei Xing dan Go Pei Kee pasti mahu melakarkan kejutan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 9:17 PM