ANNA dan Mei Xing muncul juara Terbuka Czech. FOTO BAM
ANNA dan Mei Xing muncul juara Terbuka Czech. FOTO BAM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Beregu wanita, Anna Cheong-Teoh Mei Xing memberi khabar gembira buat skuad badminton negara apabila berjaya menjulang kejuaraan Terbuka Czech selepas menewaskan pasangan dari Indonesia, Febby Valencia-Jesita Putri, semalam.

Anna Cheong-Mei Xing yang berjaya merangkul gelaran juara sulung biarpun baru digandingkan bersama memerlukan 55 minit untuk menewaskan lawan 21-15, 16-21, 21-17.

Keputusan BAM menggandingkan dua pemain itu tampak tepat apabila mereka berjaya mencari keserasian dalam waktu singkat biarpun hanya disatukan selepas Piala Uber yang lalu.

Mei Xing sebelum ini berpasangan bersama Yap Ling dan menghuni ranking ke-68 dunia, manakala Anna Choeng pula bergandingan dengan Yap Cheng Yen dan berada di kedudukan ke-193 dunia.

Kejayaan itu sekurang-kurangnya berjaya menutup kekecewaan tiga lagi aksi pemain negara yang muncul naib juara dalam acara perseorangan lelaki, wanita dan beregu lelaki selepas tewas kepada lawan masing-masing.

Sementara itu, perseorangan lelaki, Ng Tze Yong mengakui terdapat beberapa kelemahan yang sudah dikenali pasti dan ia akan diperbaiki pada aksi seterusnya di Terbuka Belgium dari 27 hingga 30 Oktober ini.

"Saya sudah kenal beberapa kelemahan dan berjanji untuk jadi lebih kuat untuk kejohanan seterusnya selepas ini. Sekarang apa yang saya perlu adalah rehat secukupnya untuk menghadapi kejohanan seterusnya selepas ini (Terbuka Belgium)," katanya.

Tze Yong tewas kepada pemain tuan rumah, Jan Louda, 21-16, 16-21, 25-27 manakala perseorangan wanita, Siti Nurshuhaini Azman Putri tewas kepada pilihan kelapan dari Indonesia Kusuma Wardani 16-21, 5-21.

Manakala dalam aksi beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun tewas kepada beregu Singapura Hee Yong-Loh Kean Hean, 21-13, 15-21, 15-21.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 6:04 PM