CHOONG Hann mengakui pemain muda wanita negara mendapat pendedahan terbaik buat dan meraih pengalaman berharga. FOTO NSTP
CHOONG Hann mengakui pemain muda wanita negara mendapat pendedahan terbaik buat dan meraih pengalaman berharga. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Perjalanan skuad Uber negara di Aarhus, Denmark terhenti apabila tewas ketiga-tiga perlawanan peringkat Kumpulan D yang mana harapan untuk sekurang-kurangnya menang satu perlawanan juga tidak kesampaian apabila tewas perlawanan terakhir kepada Kanada 1-4.

Bagaimanapun ia dilihat pendedahan terbaik buat pemain muda meraih pengalaman berharga dan melihat bagaimana intensiti permainan melawan barisan pemain yang berada di ranking lebih tinggi.

Antara yang dapat dilihat adalah prestasi dua pemain muda negara Siti Nurshuhaini Azman dan K Letshanaa yang diberi peluang beraksi dalam saingan Kumpulan D yang turut disertai juara 14 kali China, Denmark dan Kanada.

Bagi Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, biarpun mereka tewas tapi keinginan dan semangat yang ditunjukkan kedua-dua pemain muda itu sangat tinggi.

"Kita dapat lihat apa yang cuba dipamerkan Letshanaa. Permainan yang dipamerkan agak mantap serta dia juga mempamerkan skil permainan yang boleh dibanggakan ketika berdepan Denmark dan China.

"Letshanaa diturunkan dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan. Di situ kita dapat lihat kemahuan dia yang ada kala dia dapat memberi tekanan kepada lawan.

"Manakala bagi Siti pula, saya percaya dia dapat pelajari sesuatu terutama ketika turun bertemu semifinalis Olimpik Tokyo dari China, He Bing Jiao.

"Memang banyak kekurangan yang dari segi permainan apabila dia tidak dapat menentang secara berterusan dari segi kelajuan, pergerakan, tenaga dan pukulan bola.

"Kita sudah tahu bagaimana tahap permainan Bing Jiao dan ia satu jurang yang sangat jauh tapi kita harus berani menurunkan pemain muda supaya mereka boleh belajar dengan cepat dan timba pengalaman," katanya.

Pada aksi terakhir peringkat kumpulan, pasukan negara tewas 1-4 kepada Kanada yang mana S Kisona turun selaku perseorangan pertama tewas kepada Talia Ng 9-21, 14-21.

Beregu muda negara Teoh Mei Xing-Yap Ling tewas kepada Rachel Honderich-Kristen Tsai 21-13,10-21, 14-21.

Kanada mengesahkan kemenangan 3-0 apabila pemain nombor 185 dunia, Rachel Chan tampil dengan aksi bertenaga untuk menyingkirkan wakil negara Woon Qi Xuan 21-12, 21-13 dalam masa 33 minit.

Manakala Go Pei Kee-M Thinaah menghadiahkan mata tunggal negara apabila menang 21-12, 21-13 ke atas Catherine Choi-Crystal Lai.

Letshanaa yang turun sebagai pemain terakhir tewas kepada Wen Yu Zhang 21-17,16-21,12-21.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 2:36 PM