PANDELELA dedah isu gangguan seksual. FOTO Instagram Pandelela Rinong
PANDELELA dedah isu gangguan seksual. FOTO Instagram Pandelela Rinong
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Penerjun negara, Datuk Pandelela Rinong mengakui faham maksud yang ingin disampaikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berhubung pendedahan mengenai isu gangguan seksual dilaluinya sebelum ini.

Dia dalam satu ciapan di Twitter berkata, memahami senario penuh yang berlaku pada sesi sidang media berkenaan menerusi hantaran video yang dipetik Ahmad Faizal. "Tidak mengapa YB @PejaOfPerak, sekarang saya memahami senario penuh selepas melihat video ini. Wartawan lelaki yang mengajukan persoalan yang berat untuk anda," kata atlet kelahiran Sarawak itu.

Ahmad Faizal sebelum itu, menaikkan ciapan yang turut disertakan dengan video sidang media, berkata:

"Saya tidak langsung mempersoalkan apa yang diadukan oleh @Pandelela_R. Apa yang saya katakan adalah untuk mengetahui lebih lanjut apa yang berlaku.

"Ini adalah perkara serius, kita harus memastikan satu persekitaran yang selamat untuk atlet kita di setiap peringkat. Lela saya bersama kamu," katanya.

Hari ini, Ahmad Faizal di Dewan Rakyat turut diajukan soalan tambahan oleh Gobind Singh Deo yang mempertikaikan kenyataannya berhubung isu gangguan seksual dibangkitkan Pandelela.

Ahmad Faizal menjelaskan, yang beliau tidak mempertikaikan atau mempersoalkan aduan Pandelela tetapi mahu maklumat lanjut diberikan bagi mengetahui apa yang sebenarnya berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 6:09 PM