ROSLIN ramal skuad badminton negara mampu membawa balik pingat acara  perseorangan lelaki, beregu lelaki dan beregu campuran di Tokyo.
ROSLIN ramal skuad badminton negara mampu membawa balik pingat acara perseorangan lelaki, beregu lelaki dan beregu campuran di Tokyo.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Peluang skuad badminton negara untuk meraih pingat di temasya Sukan Olimpik Tokyo dilihat masih terbuka luas meskipun rata-rata barisan pemain negara dibarisi muka baharu.

Bekas jaguh perseorangan lelaki negara, Roslin Hashim berkata, ini kerana dengan kurangnya kejohanan akibat pandemik Covid-19, ia menjadikan peluang semua pemain termasuk wakil negara sangat terbuka.

"Saya tidak mahu meletakkan emas sebagai sasaran tetapi cukup sekadar memenangi pingat. Saya nampak tiga kategori boleh raih pingat iaitu perseorangan lelaki, beregu lelaki dan beregu campuran.

"Bagi saya peluang untuk memenangi pingat sangat terbuka kerana kita hanya dapat menyaksikan prestasi pemain ketika Seluruh England sahaja iaitu pada Mac lalu. Itu pun tak semua negara menyertainya.

"Lebih-lebih lagi China. Seingat saya sepanjang tahun ini, barisan pemain China tak pernah beraksi. Jadi kita tak tahu di mana sebenarnya kekuatan semua pemain dan macam-macam boleh berlaku.

"Dengan peluang yang terbuka itu, saya rasa inilah peluang terbaik untuk pemain negara cuba memenangi pingat," katanya ketika dihubungi.

Jelas Roslin, pandangannya itu bukan terhadap atlet badminton sahaja, sebaliknya merangkumi juga atlet lain yang layak beraksi di Olimpik kali ini.

"Olimpik yang berlangsung tiga tahun lagi akan kembali kepada normal dan cabarannya mungkin lebih sukar. Jadi peluang sekarang ini perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh semua atlet," katanya.

Badminton menyaksikan 10 atlet negara layak ke Tokyo iaitu perseorangan lelaki dan wanita Lee Zii Jia serta Soniia Cheah; beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean serta beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Julai 2021 @ 5:52 PM