PENG Soon dan Liu Ying raih perak di Sukan Olimpik 2016.
PENG Soon dan Liu Ying raih perak di Sukan Olimpik 2016.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Lapan pemain badminton negara yang layak beraksi di Sukan Olimpik Tokyo diharap dapat melakar kejutan apabila beraksi di temasya itu bulan depan.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, hasil kerja keras semua pihak ternyata berbaloi apabila pemain berkenaan menempah slot ke Olimpik.

"Saya mewakili BAM mengucapkan tahniah kepada pemain badminton yang berjaya menempah tiket ke Olimpik dan Paralimpik Tokyo. Semoga berjaya kepada kontinjen Malaysia. Saya berharap mereka akan memberikan yang terbaik dengan objektif memperoleh kejayaan besar kepada kontinjen negara," katanya.

Menerusi kenyataan rasmi Persekutuan Badminton Dunia (BWF), pemain yang bakal menggalas cabaran itu membabitkan juara All England 2021 Lee Zii Jia dan pasangan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Turut mengesahkan tempat ke kejohanan empat tahun sekali itu adalah Soniia Cheah (perseorangan wanita), Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean (beregu wanita) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran).

Untuk rekod, Olimpik Rio 2016, skuad badminton negara menjadi sukan paling cemerlang apabila membawa pulang tiga pingat perak menerusi kejayaan bekas jaguh perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei selain beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan beregu campuran, Peng Soon-Liu Ying.

Setakat ini seramai 12 atlet Malaysia yang sudah pun layak ke Tokyo iaitu Khairul Anuar Mohamad (memanah); Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom (basikal trek); Nur Dhabitah Sabri, Ng Yan Yee, Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee (terjun).

Selain itu Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik artistik) dan empat atlet pelayaran membabitkan Khairulnizam Mohd Afendy, Nur Shazrin Mohd Latif, Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 10:07 PM