Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Aksi Seluruh England yang berakhir hujung minggu lalu memberikan bayangan awal kepada Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen bahawa sekurang-kurangnya lima pemain terbaik dunia mampu merebut pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016.

Dalam masa yang sama beliau meramalkan saingan temasya berprestij itu akan lebih menarik dengan dominasi China dalam arena badminton dunia dilihat bakal berakhir kecuali wanita.

Menurut Frost, peluang kini terbuka untuk setiap acara kecuali beregu wanita kerana dominasi pemain China.

“Ia baik untuk badminton kerana negara lain semakin menunjukkan peningkatan dan saya percaya sukar untuk kita membuat ramalan di Olimpik nanti,” kata Frost semalam.

Kekurangan bakat baru bagi menggantikan pemain yang semakin berusia menyaksikan China bergelut dalam kejohanan utama sejak kebelakangan ini dan ada kemungkinan pulang tangan kosong dari Rio.

China hanya sekali gagal membawa pulang emas Olimpik iaitu pada edisi 1992 di Barcelona tetapi negara Tembok Besar itu pasukan yang paling berjaya dengan 16 emas diikuti Korea Selatan dan Indonesia dengan masing-masing meraih enam emas manakala Denmark berpuas hati dengan satu.

“Ia akan menjadi Olimpik paling menarik kerana China tidak lagi seperti dulu. Namun, kita tidak boleh sesekali memandang rendah kerana standard mereka masih tinggi cuma beberapa pemain utama China sudah semakin berusia.

“Bagi perseorangan lelaki, mana-mana pemain dalam kelompok lima terbaik dunia berpeluang memenangi emas,” katanya merujuk kepada Lin Dan (China), Chen Long (China), Datuk Lee Chong Wei (Malaysia), Kento Momota (Jepun) dan Jan O Jorgensen (Denmark).

“Mereka ini pencabar utama emas Olimpik,” katanya.

Ujar Frost saingan beregu lelaki sukar diramal kerana mana-mana gandingan boleh memenanginya terutama selepas melihat Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov dari Russia menjuarai Seluruh England baru-baru ini.

“Perseorangan wanita dan beregu campuran masih terbuka tapi saya fikir China akan mendominasi beregu wanita di Rio,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2016 @ 10:04 AM