ZII Jia akan berdepan Prannoy di pusingan pertama Yonex Terbuka Thailand. FOTO Agensi
ZII Jia akan berdepan Prannoy di pusingan pertama Yonex Terbuka Thailand. FOTO Agensi
BERNAMA

Kuala Lumpur: Berdasarkan keputusan undian bagi kejohanan badminton Yonex Terbuka Thailand dan Toyota Terbuka Thailand yang dijadualkan berlangsung bulan depan, pasukan badminton negara dilihat memperoleh laluan mudah untuk menyerlah di kedua-dua kejohanan itu.

Berdasarkan keputusan undian yang dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di laman web, www.bwfbadminton.org, pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia akan memulakan kempennya di Yonex Terbuka Thailand dengan menentang H S Prannoy dari India pada pusingan pertama.

Walaupun dijangka tidak mempunyai masalah dalam pusingan awal, pemain pilihan nombor lapan dunia itu berkemungkinan bertemu pilihan kedua, Chou Tien Chen dari Taiwan pada perlawanan suku akhir.

Dalam kategori beregu lelaki pula, pasangan nombor satu negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik akan menentang bekas pasangan kebangsaan, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dalam pertemuan pembukaan.

Pemain kebangsaan seharusnya mempunyai peluang yang cerah untuk menguasai kedua-dua kejohanan itu selepas Persatuan Badminton China (CBA) memutuskan untuk tidak menghantar pemain-pemain mereka kerana bimbang dengan pandemik Covid-19.

Kedua-dua kejohanan itu yang adalah pertandingan Jelajah Dunia Super BWF 1000, masing-masing menawarkan hadiah wang tunai bernilai AS$1 juta (RM4.050 juta).

Kejohanan Yonex Terbuka Thailand dan Toyota Terbuka Thailand, masing-masing akan diadakan pada 12-17 Januari 2021 dan 19-24 Januari 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2020 @ 9:11 AM