BERNAMA

Kuala Lumpur: Skuad badminton Malaysia di Thailand kini boleh menarik nafas lega, selepas kesemua peserta yang berada dalam gelembung Zon Hijau di Bangkok, diuji negatif Covid-19.

Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) dalam kenyataan memaklumkan, bahawa kesemua 824 peserta kejohanan pusingan Asia yang bermula minggu depan dengan Terbuka Thailand Yonex, bebas daripada virus berkenaan walaupun terdapat peningkatan kes baharu di negara itu.

Zon Hijau membabitkan pemain, rombongan pengiring dan semua pihak berkepentingan yang mempunyai kontak secara langsung dengan mereka seperti pengadil, pengadil garisan, kakitangan BWF, Persatuan Badminton Thailand, kakitangan perubatan serta kru penerbitan TV, menurut BWF.

Semua peserta antarabangsa diminta mengemukakan keputusan ujian saringan negatif di negara masing-masing, sebelum berangkat ke Bangkok dan diuji sekali lagi sejurus tiba di hotel kuarantin di Thailand.

Menurut BWF, pemain tempatan, kakitangan dan pegawai berpusat di Thailand juga, akan diuji dan dikuarantin sebagai sebahagian prosedur gelembung Zon Hijau.

"Pemain kini bebas untuk menjalani latihan di bawah protokol keselamatan yang ketat. Langkah-langkah kuarantin akan dilaksanakan sepanjang tempoh pengawasan wajib selama 14 hari, termasuk semasa Terbuka Thailand Yonex berlangsung.

"Lebih banyak rutin ujian Covid-19 akan dibuat dengan protokol keselamatan yang ketat, sehingga berakhirnya pusingan Asia yang berakhir dengan Jelajah Dunia Akhir BWF pada 31 Januari," menurut kenyataan itu.

Semua pemain badminton Malaysia dibenarkan berangkat pada Ahad, selepas 39 pemain dan jurulatih diuji negatif, namun Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann, dikuarantin selepas diuji positif Covid-19.

Kejohanan badminton Terbuka Thailand Yonex dijadualkan pada 12-17 Januari diikuti Terbuka Thailand Toyota pada 19-24 Januari dan Jelajah Dunia Akhir BWF dari 27-31 Januari.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2021 @ 8:18 PM